DAP pecat lapan ahlinya di Perak



IPOH: DAP memecat lapan ahlinya di Perak berkuat kuasa serta merta kerana hadir pada sidang akhbar pengumuman kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam ke dalam parti Gerakan, 26 Jun lalu.

Pengerusi Jawatakankusa Disiplin DAP Kebangsaan, Chong Chien Jen berkata, keputusan itu dibuat selepas kelapan-lapan mereka gagal memberi alasan munasabah terhadap tindakan mereka hadir pada majlis itu.


Katanya, keputusan itu dilakukan dalam mesyuarat jawatankuasa itu yang diadakan semalam.

“Surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada kesemua lapan ahli-ahli tersebut tetapi mereka telah gagal memberi sebab kenapa tindakan disiplin tidak harus diambil terhadap mereka.

“Selepas mempertimbangkan kes-kes tersebut, Jawatankuasa Disiplin memutuskan keahlian mereka dalam parti ditamatkan dengan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Chien Jen sekali lagi menegaskan bahawa jawatan kuasa itu tidak akan teragak-teragak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli yang mengkhianati perjuangan parti.

Katanya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana ahli yang menerima jawatan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN)  atau masih bersama-sama atau membantu wakil rakyat yang telah mengkhianati perjuangan parti itu.

Katanya, lapan ahli DAP yang dipecat itu ialah D. V. Dan Adriel, J. P. Angeline Phillip, P. Murugiah, K. P.  J.  Joseph Hendry,  Amir Abdullah, R. Marimutu, S. Theivanai dan J. B. William John. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram