Umno boleh menang lebih 80 kerusi jika PRU sekarang, kata kajian



Kajian terkini pilihan raya mendapati, Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah melepasi fasa pemulihan mereka dan jika pilihan raya diadakan sekarang, mereka dijangka akan memenangi lebih dari 80 kerusi Parlimen.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, jika Umno dapat bekerjasama baik dengan Pas dalam pilihan raya nanti, Umno boleh menang lebih banyak kerusi lagi.

“Mengikut kajian yang kami buat itu, Umno boleh menang 82 kerusi dan jika bersama dengan Pas, lebih banyak lagi,” kata Dr Mazlan kepada Malaysia Dateline.

Sehubungan dengan itulah, katanya, Umno sentiasa membuat desakan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Parlimen dibubarkan sekarang.



Namun begitu, kata Mazlan, Bersatu yang bakal menjadi mangsa jika pilihan raya diadakan sekarang kerana parti itu belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecuali Umno bersedia bekerjasama dengannya.

“Bersatu sekarang menuntut 54 kerusi Parlimen. Adakah Umno akan bersetuju? Saya yakin tidak. Takkan Umno mahu memberikan kerusi yang boleh mereka menangi,” kata pensyarah UTM itu.

Atas dasar itulah, katanya, Umno akan membunuh Bersatu perlahan-lahan.

“Selepas hukuman dijatuhkan ke atas Datuk Seri Najib, saya melihat tindakan mula dikenakan ke atas Bersatu bermula dengan pengumuman Umno tidak akan sertai Perikatan Nasional walaupun kekal dalam kerajaan PN.

“Pas pula sedia bersama membentuk Perikatan Nasional demi untuk menjaga kepentingannya. Mereka akan berbuat apa sahaja untuk Muhyiddin kerana beliau yang berkuasa sekarang,” kata beliau.



Bagi Dr Mazlan, Pas ada tiga kepentingan utama dengan Muhyiddin iaitu memastikan royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu dan memastikan kerajaan Kedah tidak jatuh.

“Demi tiga kepentingan ini, Pas akan berbuat apa saja untuk Muhyiddin,” kata Mazlan.

Menurut Mazlan, selain Bersatu, pihak yang tidak sedia menyertai pilihan raya sekarang adalah kumpulan 10 pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang belot dari PKR.

“Mereka tidak ada tempat jika pilihan raya diadakan sekarang. Hatta Azmin sendiri tidak selamat di Gombak kerana Umno dan Pas sepakat tidak akan memberi laluan kepada Azmin.

“Begitu juga Zuraidah dan juga Kamarudin Jaffar. Mereka tidak ada base politik yang cukup untuk membolehkan  mereka mendapat undi. Kalau mereka bertanding sendiri, 1/8 undi pun mereka payah nak dapat,” kata Mazlan. – Malaysiadateline

ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram