Tentera maafkan Asri Janggut



Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima permohonan maaf peniaga burger yang tular baru-baru ini, Asri Janggut, atas kenyataannya bahawa kebanyakan polis dan askar tidak menjaga solat.

Meskipun menyifatkan kenyataan itu keterlaluan dan mengguris hati warga ATM yang beragama Islam, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang (TUDM) dipetik ATM sebagai berkata bahawa manusia biasa memang tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.

“Oleh yang sedemikian, ATM mengambil pendekatan menerima permohonan maaf individu berkenaan yang disiarkan juga di media sosial PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) pada 12 Ogos 2020.

“Semoga apa yang berlaku dapat dijadikan sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa peka dan berhati-hati di dalam mengeluarkan kenyataan, pendapat, pandangan mahupun apa jua ulasan [...]” kata ATM dalam satu kenyataan hari ini.



Kata ATM, kemaafan akan dapat memberikan ketenangan bukan saja buat si pesalah, tetapi juga buat orang yang memaafkan kesalahan berkenaan.

Namun, ATM berpesan agar semua pihak berhati-hati mengeluarkan kenyataan, dengan memetik pesanan Rasulullah SAW dalam satu hadis agar manusia menjaga “apa yang ada di antara tulang dagu (mulut dan lidah) dan antara dua kakinya (kemaluan)” bagi mendapat jaminan syurga.

“Awasilah dalam berkata-kata. Jangan disebabkan tergelincir dan kelembutan lidah yang tidak bertulang menjadi punca dosa dan dimasukkan seseorang ke dalam neraka.

“ATM berharap agar perkara seumpama ini tidak akan berulang di masa mendatang dan menyeru masyarakat untuk tidak membangkitkan lagi perkara ini di khalayak umum bagi menjaga keharmonian semua,” kata ATM lagi.



Asri atau nama sebenarnya Mohd Asri Hamid menjadi perhatian apabila video rakamannya tular memaparkan apa yang didakwa sebagai penguatkuasaan berat sebelah terhadap penjaja di Sungai Buloh, Selangor.

Dakwanya, penjual rokok seludup dan pemilik pusat judi haram tidak dikenakan tindakan oleh penguatkuasa. Ia mengundang perdebatan hangat di media sosial.

Susulan itu, polis membuat serbuan di Sungai Buloh, manakala beberapa penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan atas dakwaan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Namun, tidak lama selepas itu, nama Asri meletus sekali lagi di media sosial apabila satu lagi video tular yang memaparkan dia mendakwa kebanyakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ATM tidak menjaga solat masing-masing.



Ekoran itu, polis membuka dua kertas siasatan ke atasnya.

Asri bagaimanapun telah memohon maaf secara terbuka, dengan menyifatkan kenyataannya sebagai silap jahil, bodoh dan celupar.

"Saya memohon jutaan maaf kerana saya tidak jangka boleh cakap macam itu... mereka adalah pembantu negara, saya sekali lagi memohon maaf kerana Allah, maafkan atas segala kesilapan saya.

"Saya mengakui kebodohan, kesilapan saya dan reda atas apa yang berlaku, sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya PDRM dan ATM," katanya. – Mkini




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram