Puteri UMNO Tampin tolak KJ, cadang bertanding kawasan bandar



Cyberjaya – Puteri UMNO Bahagian Tampin menolak cadangan untuk memberikan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Kamaluddin bertanding di kawasan tersebut dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Naib ketuanya, Dayang Nurazlin Nordin ketika dihubungi SuaraTV berkata sebagai seorang yang mempunyai ‘aura’ Khairy sepatutnya diletakkan bertanding di kawasan bandar.

“Saya tak berapa setuju (KJ bertanding di Tampin), ketua puteri saya juga tidak bersetuju kerana pada saya, dia (KJ) lebih layak bertanding di tempat yang lebih besar iaitu kawasan bandar.

“Sebagai contoh Seremban, Lembah Pantai, Port Dickson yang boleh tarik lebih ramai pengundi. Itu lebih sesuai untuk dia berbanding masuk (bertanding) di kawasan yang senang menang,” katanya lagi.


Dayang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas desus Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bakal ditukarkan untuk bertanding di kawasan lain.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu, mengesahkan akan bertanding untuk kerusi Parlimen Rembau dalam Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurut bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, langkah tersebut sesuai dengan peranannya dalam parti di peringkat pusat.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat turut menjelaskan penyandang kerusi tersebut Khairy bakal dicalonkan untuk bertanding di kawasan lain.


Dayang seterusnya berkata UMNO Bahagian Tampin akan bermesyuarat bagi mendapatkan pandangan akar umbi mengenai perkara ini.

“Bahagian akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Cuma apa yang boleh saya katakan, Puteri Tampin mahukan anak tempatan mewakili kami,”’katanya lagi.

Khairy sehingga kini belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut. – SuaraTV

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram