Mufti Perak diserang strok masuk hospital



MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak, selepas mengalami serangan angin ahmar, hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, Harussani dikejarkan ke hospital selepas solat Subuh pagi tadi.


Menurutnya, berdasarkan maklumat diberikan Jabatan Mufti Perak setakat ini, Harussani masih dalam pemantauan di hospital berkenaan.

"Saya menyeru seluruh rakyat Perak dan rakyat di seluruh negara mendoakan kesejahteraan Tan Sri Mufti yang kita sayangi.

"Kita mengharapkan agar beliau segera sembuh kerana khidmat beliau masih lagi diperlukan di negeri ini," katanya.


Mohd Akmal berkata, Harussani memerlukan rehat dan diharap orang ramai terus berdoa supaya beliau diberikan kesembuhan.

Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak bermula 1985 sehingga kini dan pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Antara jawatan disandang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak dan sebagainya. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram