Menteri dedah surat campur tangan Dr M, Guan Eng, Tommy dalam kes taikun hartanah


Please subscribe


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, mendakwa ada salinan surat menunjukkan campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan dan bekas peguam negara yang mengarahkan pembatalan pembekuan aset taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu didedahkan Takiyuddin ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin mendedahkan beberapa salinan surat membabitkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan, Guan Eng dan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018 dan tahun lalu.

"Saya nak sebut satu kes, Tan Sri Lim Soon Peng, dia terbabit dalam penggubahan wang haram daripada 1MDB sebanyak RM4 juta tetapi apabila dia dihadapkan oleh SPRM, beliau meminta peguamnya membuat surat representasi kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 20 Oktober 2018 semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).



"Apa yang berlaku, surat daripada peguam ini diminitkan oleh Perdana Menteri ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad) pada masa itu. Minit itu berbunyi, 'saya berpendapat, penyelewengan oleh mantan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tidak boleh disalahkan (kepada) Tan Sri Lim (Soon Peng).

"Oleh itu pembekuan akuan peribadinya atau syarikatnya tidak boleh dikekalkan'. Ditandatangani, 5 Disember 2018, siap dengan cop perdana menteri," katanya.

Beliau berkata, surat itu kemudiannya diminitkan sekali lagi oleh Guan Eng bertarikh 19 Februari 2019 yang meminta supaya SPRM segera menarik semula arahan pembekuan terbabit seperti yang diminta oleh perdana menteri.

Susulan daripada surat itu, katanya, Tommy kemudian membalas surat kepada Guan Eng bertarikh 31 Mei 2019 memaklumkan mengenai status pembekuan akaun ahli perniagaan terbabit dan arahan beliau kepada SPRM.

"Tak pernah berlaku dalam sejarah malah saya percaya surat representasi Yang Berhormat Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) tidak pernah diminitkan sebegini," katanya.



Pendedahan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Mohamed Hanipa (AMANAH-Sepang) dan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) mempertikaikan perkara itu.

"Yang Berhormat Menteri, janganlah cuba misleading (mengelirukan) dewan. Tolonglah, ini misleading ...," kata Mohamed Hanipa.

"Ini Yang Berhormat Menteri jawab soalan yang mana satu. Tidak ada pun soalan," kata Kasthuriraani pula.

Terdahulu, Takiyuddin menjelaskan mengenai kes membabitkan anak tiri Najib, Riza Aziz yang dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Katanya, Tommy ada menulis nota mengenai surat representasi Riza Aziz berhubung kes pengubahan wang haramnya yang menunjukkan bahawa dia secara prinsip bersetuju dengan syarat-syarat penyelesaian.

"Satu hari selepas peguam Riza Aziz membuat representasi kepada AG (peguam negara). Pada 19 November 2019, Tommy telah meneliti surat representasi ini. Setelah dia meneliti surat ini, Tommy sebagai AG telah membuat satu nota tulisan tangan, berwarna dakwat merah di atas surat itu, saya baca ini adalah salinan sebenar," katanya.



Sementara itu, Takiyuddin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terbuka kepada cadangan penambahbaikan terhadap Akta Pilihan Raya seperti yang dicadangkan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas).

"Yang Berhormat Padang Rengas mencadangkan supaya Akta Pilihan Raya dipinda bagi membolehkan pertandingan membabitkan parti yang bertanding, bukannya nama individu untuk mengatasi isu lompat parti.

"SPR sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan, namun cadangan ini membawa maksud menukar sistem pilihan raya yang sedang diguna pakai di Malaysia.

"Oleh itu, cadangan ini memerlukan kajian lanjut oleh SPR dan memandangkan ia membabitkan pindaan kepada beberapa undang-undang bukan sahaja Akta Pilihan Raya, tetapi juga Perlembagaan Persekutuan khasnya, Perkara 47, 48, 49, 50, 51 dan 54," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, SPR dan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya Malaysia sedang meneliti sistem pilihan raya sedia ada dan mengkaji kesesuaian sistem pilihan raya yang diamalkan oleh negara lain.

Mengulas lanjut mengenai isu lompat parti, Takiyuddin turut mencabar kerajaan Pulau Pinang supaya mengosongkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang melompat parti.



Empat kerusi DUN itu membabitkan Bertam (Khaliq Mehtab Mohd Ishaq), Teluk Bahang (Zolkifly Md Lazim), Seberang Jaya (Dr Afif Bahardin) and Sungai Acheh (Zulkifli Ibrahim), semua mereka bertindak keluar PH dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

"Dalam semua 14 negeri di Malaysia, Pulau Pinang satu-satunya negeri yang meminda perlembagaan negeri yang menyatakan mana-mana wakil rakyat yang melompat parti, perlu mengosongkan kerusi mereka.

"Jika pembangkang mahukan akta anti lompat parti ini, saya cadang supaya kerajaan Pulau Pinang mengosong empat kerusi DUN terbabit," katanya.

Katanya, tindakan itu akan membolehkan keputusan Mahkamah Agong pada 1992 dalam kes Nordin Salleh di Kelantan, membabitkan lompat parti yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dalam kebebasan berpersatuan, dicabar.

"Jika kerajaan Pulau Pinang mengosongkan kerusi terbabit dan ADUN berkenaan membawa kes ke mahkamah, di situ kita akan lihat sama ada keputusan dalam kes Nordin Salleh dikekalkan atau sebaliknya.

"Jika (keputusan) berubah, barulah kita boleh bercakap mengenai akta anti lompat parti ini," katanya. – Bharian

ARTIKEL BERKAITAN:





Join our Telegram Channel
Telegram