Khairuddin mohon maaf, pulang 4 bulan gaji



KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kegagalan mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Beliau juga akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos, sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19).


Dalam satu kenyataan Khairuddin berkata adalah tanggungjawabnya sebagai menteri untuk akur kepada peraturan dan SOP, sepanjang tempoh PKPP.

“Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai menteri, untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Covid-19 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan gaji Mac dan April, juga disumbangkan sebelum ini ke tabung itu seperti keputusan Kabinet sebelum ini.


“Saya akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga saya, untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai menteri, bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40, sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka,” katanya.

KKM dalam kenyataan hari ini berkata, kementerian itu mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin pada 7 Ogos lalu atas kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Khairuddin sudah menjelaskan kompaun itu. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin menteri banggang – Tony Pua



Join our Telegram Channel
Telegram