Guan Eng, isteri, ahli perniagaan didakwa di mahkamah



Perhatian tertumpu di Kompleks Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini di mana bekas ketua menteri, Lim Guan Eng, isterinya, Betty Chew dan ahli perniagaan, Phang Li Koon didakwa atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Lim dan Chew hadir di mahkamah Sesyen Butterworth bersama penyokong mereka yang turut terdiri daripada beberapa exco kerajaan negeri dan Adun.

Phang, yang sebelum ini menjual banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang kepada Guan Eng, hadir di mahkamah sekitar jam 8.40 pagi.

Lim, yang sebelum ini menghadapi dua tuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai berbilion ringgit, didakwa di bawah Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan terlibat dengan syarikat swasta, Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd .



Bekas menteri kewangan itu semalam didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah sehingga RM3.3 juta, manakala pada Jumaat lalu didakwa meminta suapan berkaitan projek yang sama.

Chew didakwa terlibat dengan Excel Property.

Dia akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Chew yang juga seorang ahli politik berpengalaman, pernah menjadi Adun Durian Daun selama satu penggal dan Adun Kota Laksamana selama dua penggal, selain menjadi ketua wanita DAP Melaka.

Chew mempersoalkan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu, di mana dia dibebaskan dengan jaminan  sebanyak RM50,000.



Phang yang pada 2018 dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan banglo dengan kos yang terlalu rendah, dijangka didakwa kerana bersubahat dengan Lim dalam kes berkaitan pengurusan Excel.

Antara pemimpin yang tiba untuk menyokong Lim dan Chew ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy dan anggota exco Phee Boon Poh dan Chong Eng.

Bapa Guan Eng, Lim Kit Siang, adiknya, senator Lim Hui Ying dan anaknya juga hadir untuk memberi sokongan kepada pasangan itu.

Anggota Parlimen PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar tiba di mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi.

Turut dilihat hadir ialah peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur dan RSN Rayer serta isteri mendiang Karpal Singh, Gurmeet Kaur.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid akan mengadili kes berkenaan. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram