Guan Eng cabar Zafrul dedah 101 projek didakwa runding terus zaman PH


Please subscribe


KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mencabar Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, mendedahkan 101 projek dikatakan berjumlah RM6.6 bilion yang diberi secara rundingan terus oleh pentadbiran lepas.

Lim mahu menteri dedah syarikat mana yang berjaya mendapat tender, kroni siapa yang dapat, serta menteri mana yang memohon kelulusan rundingan terus.

“Menteri kewangan tidak harus menyembunyi dan main sorok-sorok maklumat,” katanya dalam kenyataan hari ini, menggesa Zafrul jangan takut berbuat demikian.

Semalam, menteri melaporkan kepada Dewan Rakyat terdapat 101 projek dianugerahkan secara rundingan terus oleh pentadbiran lepas, mencetuskan gempar dalam kalangan ahli Parlimen.



Namun Zafrul belum mendedahkan senarai penuh 101 projek tersebut dan syarikat terlibat, kata Lim hari ini.

“Atau Zafrul takut akan terbongkar nanti perdana menteri sendiri, semasa menjadi menteri dalam negeri dan menteri lain, pun ada memohon projek rundingan terus daripada saya sebagai menteri kewangan?”

Berkenaan tender terbuka, Lim menarik perhatian kepada garis panduan kerajaan, yang membenarkan pengecualian bersyarat bagi perolehan tertentu seperti semasa krisis atau bencana alam, berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara, dan kepakaran khusus.

“Satu perkara yang nampaknya semua menteri sekarang sudah lupa,” katanya.



Sementara itu, pada sidang media hari ini, Lim menarik perhatian kepada nilai RM6.6 bilion projek yang diluluskan Kementerian Kewangan dalam 22 bulan pentadbiran lepas, mengatakan ia hanya 1.4% berbanding nilai keseluruhan perolehan ketika itu.

Beliau seterusnya meminta Zafrul mendedahkan berapa banyak projek yang diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan pentadbiran sekarang.

“Kita belum tahu lagi, ini kita nak tahu lah,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:




Join our Telegram Channel
Telegram