Duit bapak awak ke saya curi? MP Baling tanya Jelutong


Please subscribe


KUALA LUMPUR: Hari terakhir perbahasan di Dewan Rakyat berhubung rang undang-undang Covid-19 menjadi tumpuan dengan perdebatan hangat antara wakil kerajaan dan pembangkang mengenai isu kontroversi lawatan seorang menteri ke Turki.

Ketegangan itu bermula sejak pagi tadi dengan pembangkang berulang kali meminta penjelasan berkenaan dwi-standard dalam hukuman antara rakyat dengan seorang menteri yang melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia berlanjutan sehingga ke sesi petang apabila Shahidan Kassim (BN-Arau) mengkritik kerajaan lepas kerana gagal “mengurus” industri minyak sawit pada masa itu.

Shahidan berkata, harga komoditi jatuh tahun lepas berbanding sekarang.



RSN Rayer (PH-Jelutong) berdiri dengan berkata bahawa Shahidan mengelirukan Dewan kerana ramai menteri yang mengurus ekonomi negara duduk di sebelah kerajaan.

“Tanya Gombak (Mohamed Azmin Ali) yang terlibat dengan ekonomi negara,” katanya.

Ini menyaksikan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mempertahankan pertumbuhan sektor minyak sawit di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Rayer memberitahu Azeez supaya tidak mencelah. “Kamu pencuri. Duduklah.”

Azeez menjawab: “Ada saya curi duit bapa awak? Kalau ada, awak cakap sekarang.”

Pembesar suara ditutup selepas itu bagi mententeramkan keadaan.



Ahli Parlimen seterusnya yang berbahas ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang bercakap mengenai dwi-standard yang diamalkan oleh kerajaan sekarang.

Merujuk kepada orang awam yang didenda dan dipenjara kerana tidak memakai pelitup muka atau tidak menjalani perintah kuarantin wajib, beliau meminta penjelasan mengenai ketidakseragaman dalam pelaksanaan undang-undang terhadap VIP.

Dalam pada itu, ahli Parlimen lain menggesa speaker Azhar Harun supaya melarang Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali, yang tidak mematuhi peraturan kuarantin, daripada masuk Dewan sehingga kesnya selesai.

Rayer mengingatkan Azhar bahawa beliau baru-baru ini mengarahkan ahli Parlimen yang mempunyai kes Covid-19 di kawasan mereka menjalani saringan.



Katanya, Khairuddin secara jelas melanggar undang-undang Covid-19.

Azhar berkata, Khairuddin pergi ke Turki pada 3 Julai, iaitu sebelum pelantikannya (Azhar) sebagai speaker pada 13 Julai.

“Kedudukan saya adalah saya tak punyai kuasa untuk memerintah ahli Parlimen membuat itu dan ini. Saya tak buat petua sebab petua yang saya boleh buat hanya di bawah Peraturan Mesyuarat,” katanya.

Justeru katanya, beliau menasihati ahli Parlimen yang mempunyai kes Covid-19 di kawasan mereka untuk menjalani ujian virus, dan tidak membuat arahan. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram