TERKINI: BN mendahului dengan majoriti besar



9.20 malam - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan calon BN, Mohd Zaidi Aziz memenangi pilihan raya kecil (PRK) Slim.

Zaidi menang dengan majoriti 10,945 undi, jauh mengatasi margin kemenangan pada PRU14 iaitu sebanyak 2,183 undi.

Dia memperoleh 13,060 undi, manakala Amir Kyushairi mendapat 2,115 undi dan S Santhasekaran meraih 276 undi.

SPR berkata jumlah pengundi pada PRK berkanaan adalah sebanyak 68.4 peratus.



8.30 malam - (TAK RASMI) Keputusan tidak rasmi di pusat daerah mengundi (PDM) membayangkan sejumlah pengundi Cina dan India yang menolak BN pada PRU 2018 membuat pilihan berbeza kali ini.

Ia jelas dilihat di Ladang Sungkai, PDM dengan majoriti pengundi India (83.56 peratus).

Pada 2018, 70.35 peratus pengundi di situ menyokong calon PH tetapi kali ini sejumlah 68.26 peratus pengundi memilih calon BN.

Sementara itu, keputusan di PDM Sungai Slim Utara membayangkan peralihan sokongan yang sama di kalangan pengundi Cina.



8.15 malam - (TAK RASMI) BN memang di kesemua 13 daerah mengundi dalam DUN Slim, selain undi pos dan undi awal.

Ini bermakna BN berjaya mengubah sokongan para pengundi di enam daerah mengundi yang dimenangi PH pada PRU 2018.

Ia juga membayangkan terdapat peralihan sokongan di kalangan pengundi bandar ketiga-tiga kaum utama.

Antara perubahan sokongan paling jelas adalah di Sungai Slim Utara, daerah mengundi dengan majoriti pengundi Cina (60.85 peratus).

Pada PRU 2018, BN hanya mendapat 17.85 peratus undi di situ tetapi kali ini meraih 61.28 peratus undi.



7.35 malam - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN mendapat jumlah undi yang lebih besar berbanding gabungan undi PAS dan Umno pada PRU 2018.

Menurut kiraan, BN mendapat 84.37 peratus undi kali ini manakala gabungan undi yang diraih Umno dan PAS pada PRU lalu ialah 66.9 peratus.

7.20 malam - (TIDAK RASMI) : Mengikut kiraan tidak rasmi, BN memperoleh 9,980 undi dan memperoleh kemenangan berdasarkan perkiraan 73 peratus pengundi yang keluar mengundi.

Berdasarkan undian yang dikira setakat ini, BN sudah melebihi jumlah undi yang diterimanya semasa pilihan raya umum 2018.

Calon Pejuang, Amir Khusyairi pula memperoleh sekitar 13.5 peratus undi.

Sekiranya undi diterimanya di bawah 12.5 peratus, Amir akan hilang wang deposit.



7.05 malam - (TIDAK RASMI) Mengikut kiraan tidak rasmi, BN memperoleh 5,173 undi setakat ini.

Dengan kira-kira 73 peratus keluar mengundi, ini bermakna BN sudah melepasi had jumlah undi yang diperlukan untuk menang dalam PRK berkenaan.

Calon Pejuang pula masih belum memperoleh undi empat angka dan hanya memperoleh 15 peratus daripada jumlah undi yang dikira setakat ini.

7.00 malam - TIDAK RASMI: Mengikut kiraan undi awal, BN mencatatkan peningkatan dengan memperoleh 95 peratus daripada jumlah undi awal, berbanding 80 peratus yang diperolehnya pada tahun 2018.

Calon Pejuang pula menerima 4.37 peratus undi awal, hampir sama dengan calon PH pada tahun 2018.

Ini menunjukkan sebilangan penyokong PAS di kalangan pengundi awal telah mengundi calon BN.



Calon BN dahului lebih 1,000 undi

6.45 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi dari pusat pengundian, Mohd Zaidi Aziz dari BN mendahului lebih 1,000 undi. Dia kini mendapat 1,500 undi berbanding Amir Khusyairi memperoleh 389 undi, manakala seorang lagi calon bebas, S Santhasekaran memperolehi 65 undi.

Undi awal dikira, BN perolehi 241 undi, Pejuang 11

6 petang - Undian awal telah dikira dan secara tidak rasmi calon BN mendapat 241 undi, manakala Amir yang mewakili Pejuang hanya mendapat 11 undi.

Pasukan Amir memberitahu media bahawa dia sedang menunggu keputusan dari Bilik Gerakan Utama (BGU). Belum ada berita dari Zaidi. Hujan turun dengan lebatnya.

Kotak undi dalam perjalanan ke pusat pengiraan undia di Tg Malim.



Undian ditutup, pengiraan bermula

5 petang - Pengundian ditutup bagi kerusi Dun N58 Slim di Perak dan pengiraan undi akan bermula tidak lama lagi.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz, yang juga ketua Umno bahagian Tanjung Malim, mempertahankan kerusi kubu kuat parti itu. Beliau dicabar calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran.

Amir Khusyairi, seorang peguam syariah bertanding atas tiket bebas tetapi mewakili parti baru yang diasaskan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Kerusi Dun Slim kosong berikutan kematian Adunnya selama empat penggal, Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Dun Slim mempunyai 22,749 pengundi di mana 75 peratus pengundi adalah berbangsa Melayu, diikuti kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus). – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram