Adun Jeram, Ahli Majlis Tertinggi PPBM umum keluar parti



PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Selangor, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar PPBM selepas mendakwa parti itu tersasar daripada matlamat asalnya.

Beliau mengumumkan menjadi Adun Bebas dan menyokong kepimpinan serta perjuangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bersama jawatankuasa bahagian, ketua cawangan dan majoriti ahli PPBM Kuala Selangor mengambil keputusan untuk keluar PPBM dan menjadi Adun serta ahli Bebas.

“Kami merasakan perjuangan parti ini tersasar daripada objektif asal untuk melawan kerajaan kleptokrasi dan menjadikan PPBM sebagai wadah perjuangan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.



Shaid juga berkata, beliau mendapati PPBM sanggup kerjasama dengan individu yang ditolak rakyat pada pilihan raya umum lepas.

“Kami juga rasakan, PPBM sukar membentuk gabungan dengan Muafakat Nasional kerana semua parti ditunjangi oleh orang Melayu.

“Maka kawasan bertanding akan menjadi rebutan dan berlaku unsur khianat,” katanya.

Semalam Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru orang Melayu berikutan pertikaian yang berlaku dengan PPBM.

Katanya, parti ini bakal menjadi sebuah parti moderat dan inklusif, selain mendakwa bahawa Umno, PAS dan PPBM telah tersasar daripada perjuangan asal mereka. – FMT



PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Tariq Ismail Mustafa mengumumkan meletakkan jawatan sebagai ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta.

“Perjuangan yang asalnya berlandaskan prinsip-prinsip dipegang bersama, menentang korupsi dan salah guna kuasa bagi membentuk bangsa dan negara yang bermaruah dan berintegriti, terpaksa berpatah arah.

“Bagi saya secara peribadi, arah tuju ini harus mengharungi jalan yang berliku dan berduri, seiring dengan perjuangan yang bermaruah.

“Di atas dasar ini dan sejajar dengan keperibadian saya, saya dengan ini meletak jawatan sebagai ahli PPBM berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tariq bagaimanapun mengucapkan penghargaan kepada pucuk pimpinan PPBM, terutama presidennya, Muhyiddin Yassin, atas kepercayaan yang ditunjukkan kepada beliau.



“Sebagai budak politik berhingus dan juga atas segala tunjuk ajar dalam selok-belok berpolitik.

“The ends do not justify the means”, terutama dalam aspirasi pembangunan bangsa dan negara.

“Mana letaknya akhlak dan kebolehpercayaan seseorang pemimpin sekiranya jalan pintas yang diguna pakai bertentangan (dengan) matlamat perjuangan,” katanya.

Semalam bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baru selepas keahlian beliau dalam PPBM yang diterajuinya sebelum ini terbatal.

Mahathir bersama beberapa bekas pemimpin parti itu yang turut terbatal keahlian mereka menubuhkan parti baru yang belum dinamakan dan menunggu proses permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Bekas pengerusi PPBM itu berkata, asas penubuhan parti baru tersebut adalah dengan mengambil “DNA” asal PPBM yang kini lari daripada perjuangannya di bawah kepimpinan Muhyiddin. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram