300 ahli Bersatu Pokok Sena umum keluar parti



POKOK SENA – Seramai 300 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pokok Sena mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta semalam.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pokok Sena, Mohd Tazidi Awang Kechik berkata, kesemua ahli itu adalah daripada 11 cawangan di bahagian berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat kerana mereka kecewa dengan pucuk kepimpinan Bersatu hari ini yang sudah jauh tersasar daripada matlamat awal penubuhan parti yang bertujuan untuk menjatuhkan parti Barisan Nasional (BN).



“Kepimpinan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu hari ini juga turut mengkhianati mandat rakyat yang diberikan semasa pilihan raya yang lalu,” katanya ketika ditemui di Dewan Sri Tanjung di sini.

Beliau berkata, mereka juga sebulat suara bersetuju untuk menyokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh bekas Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya yakin setelah proses penubuhan parti Pejuang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), lebih ramai ahli bahagian ini akan mengikut jejak langkah kami,” katanya.



Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata, gelombang perubahan kepimpinan Bersatu sudah dirasai di banyak bahagian di Kedah hingga menyebabkan pihaknya mendapat banyak undangan untuk turun bagi menemui bekas ahli Bersatu yang kecewa.

“Gelombang itu akan memberi tamparan hebat kepada kepimpinan Bersatu hari ini selepas ramai ahlinya mula berhijrah.

“Kita akan teruskan perjuangan melalui wadah baharu, Pejuang yang akan berjuang untuk rakyat bukan untuk diri sendiri,” katanya. – Sinar

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram