Salleh Keruak nak join semula Umno



Bekas Bendahari Umno Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan beliau telah memohon untuk menyertai semula Umno.

Beliau berkata permohonan itu dibuat pada 26 Mei lalu melalui Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Bung Moktar Radin.

Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata beliau membuat keputusan itu setelah merenung kembali keputusannya sebelum ini termasuk keluar daripada Umno secara ‘en-bloc’ pada 12 Dis 2018 yang kini dianggapnya sebagai satu kekhilafan.

Loading...

“Kini saya menyerahkan kepada Umno khususnya Presiden (Ahmad Zahid Hamidi), Majlis Tertinggi dan ketua Umno Sabah diketuai oleh Bung Moktar Radin untuk menimbang permohonan tersebut.

“Saya berhasrat untuk menyumbang sepenuh usaha dan tenaga saya bersama Umno dalam meneruskan agenda perjuangan membina negara Malaysia yang tercinta,” kata Salleh dalam catatan terbaru di blog beliau.

Semalam, Bung Moktar memaklumkan pihaknya sudah menerima surat permohonan Salleh untuk menyertai semula Umno, dan permohonan itu sedang dipertimbang dan diperhalusi untuk kelulusan.

Loading...

Terdahulu, Salleh memaklumkan beliau telah membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar pemimpin Umno Sabah bertindak keluar parti pada Disember 2018. – Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Salleh Keruak tak jadi join PKR



Join our Telegram Channel
Telegram