RM50 e-wallet masuk mulai esok



MULAI esok, orang ramai akan menerima RM50 kredit e-Penjana melalui aplikasi e-dompet Boost, GrabPay atau Touch 'n Go eWallet.

Untuk memohon kredit, setiap pemohon mesti memuat turun salah satu dari tiga e-dompet itu, serta memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Tempoh memohon RM50 kredit itu adalah dari 31 Julai hingga 24 September 2020, manakala tarikh akhir penggunaannya adalah pada 30 September 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program RM750 juta kredit e-Penjana itu adalah antara inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) yang bertujuan untuk membantu merancakkan perbelanjaan pengguna di Malaysia.

Loading...

"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama aplikasi pengesan kontak Covid-19 MySejahtera.

"Inisiatif ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas, serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun.

"Setiap pemohon yang layak boleh menebus RM50 kredit e-Penjana daripada Boost, GrabPay atau Touch 'n Go eWallet.

"Pemohon yang layak juga akan menerima padanan insentif tambahan bernilai RM50 dalam bentuk rebat tunai, baucar atau mata ganjaran sepanjang tempoh kempen," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Loading...

Menurutnya, pemohon disaran memuat turun dan mengemas kini data di dalam aplikasi MySejahtera, manakala peniaga dan peruncit perlu menghubungi penyedia perkhidmatan e-dompet berkenaan dan mendapatkan kod QR MySejahtera bagi memastikan urus niaga e-Penjana yang lancar di premis mereka.

"Rakyat juga diingatkan bahawa bagi tujuan pelaksanaan e-Penjana, Kementerian Kewangan hanya mengiktiraf aplikasi MySejahtera, Boost, GrabPay dan Touch 'n Go eWallet.

"Pastikan data peribadi hanya dikongsi dengan aplikasi yang rasmi dan sahih," katanya. – Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram