Kerajaan tidak akan laksana PPSMI



Kerajaan tidak merancang untuk mengembalikan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) buat masa ini, kata Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada soalan Anggota Parlimen Selayang, William Leong Jee Ken semalam.

Dalam soalannya, Leong meminta Menteri Pendidikan memberi sebab untuk melaksanakan semula PPSMI dan apakah penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan ketika ia pertama kali dilaksanakan.

"Untuk makluman, Kementerian Pendidikan tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula dasar PPSMI," kata Radzi dalam jawapan ringkasnya.


Loading...

Sebelum ini terdapat ura-ura kerajaan - ketika itu di bawah PH - ingin memperkenalkan semula dasar itu.

Pada 15 Feb lalu, Dr Mahathir Mohamad ketika memangku jawatan menteri pendidikan berkata satu jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk meneliti perkara itu dan berharap ia dapat diputuskan pada tahun depan.

Kabinet kemudian akan menentukan sama ada PPSMI akan dilaksanakan semula atau mengekalkan kaedah sedia ada, katanya.

Berhubung pembelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Darjah 4 di sekolah jenis kebangsaan pula, Radzi berkata pihaknya akan memperhalusi semula isu tersebut secara menyeluruh dan holistik.

Beliau membangkitkan Akta Pendidikan 1996 yang antara lain menyatakan kurikulum kebangsaan hendaklah digunakan oleh semua sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan, termasuk mata pelajaran teras yang mana Bahasa Melayu adalah salah satu daripadanya.


Loading...

Katanya lagi, kabinet pada 14 Ogos 2019 juga telah memutuskan berkenaan pengurangan bilangan muka surat berkenaan tulisan Jawi dikurangkan daripada enam ke tiga halaman, dan pelaksanaannya tertakluk kepada persetujuan murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Mengambil kira Akta Pendidikan 1996, Kementerian Pendidikan akan memperhalusi semula perkara berkaitan dengan tulisan jawi ini secara menyeluruh dan holistik.

"Buat masa ini, keputusan jemaah menteri sebelum ini dikekalkan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, yang meminta kerajaan menyatakan pendirian berkenaan tiga muka surat pengenalan Jawi itu.

Isu tersebut dianggap sebahagian daripada konflik yang mencalarkan imej kerjaaan PH sebelum ini, dengan sejumlah pihak menyokong dan juga membantah pelaksanaannya.

Ketika dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Mac lalu, Radzi berkata PPSMI dan pengenalan tulisan Jawi adalah antara isu penting yang akan diberi perhatian. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram