Jho Low kini bersembunyi di Macau, kata Hamid



Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata ahli perniagaan yang dikehendaki Malaysia dan beberapa negara lain, Jho Low, kini bersembuyi di Macau.

“Dia dimaklumkan telah melakukan transaksi semasa di sana dan pihak berkuasa telah berusaha sebaik mungkin untuk menjejaknya dan membawa dia ke muka pengadilan,” kata Abdul Hamid seperti dipetik The Star hari ini.

Tambah Abdul Hamid, polis tidak berniat untuk melengah-lengahkan pemburuan ke atas Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - itu kerana diperlukan bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Loading...

“Seperti yang dimaklumkan, saya tak pernah putus asa untuk bawa Jho Low balik. Dia telah merompak wang negara. Kami tidak akan berehat selagi dia belum berada di belakang besi (penjara).

“Disebabkan dia dan pesalah lain, negara kini dibebani hutang,” katanya.

Menurut beliau lagi keluarga Jho Low pula kini didapati sedang berlegar-legar di sekitar Hong Kong.

Abdul Hamid berkata polis turut berusaha untuk mendapatkan kembali wang yang dicuri lelaki terbabit.

Loading...

Awal bulan ini, Abdul Hamid mendedahkan bahawa bekas ketua pegawai eksekutif SRC Internation Sdn Berhad, Nik Faisal Ariff Kamil kini bersembunyi di Hong Kong bersama anak dan isterinya.

Jelas Abdul Hamid, polis sudah menyampaikan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa Hong Kong namun tidak mendapat respons positif daripada mereka.

Selain Jho Low dan Nik Faisal, individu yang dicari pihak berkuasa sejak 2015 ialah Eric Tan Kim Loong, Casey Tang, Jasmine Loo Ai Swan dan Geh Choh Heng. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram