Amanah nafi setuju Shafie calon PM, perlu putus dalam Majlis Presiden PH



KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan sebarang keputusan mengenai calon Perdana Menteri wajar dibincang dan diputuskan secara bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad, berkata kaedah itu diputuskan selepas Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) AMANAH mengadakan mesyuarat petang tadi untuk berbincang mengenai pencalonan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai Perdana Menteri.

Loading...

Beliau berkata, pencalonan Mohd Shafie itu adalah cadangan yang dibuat secara tidak rasmi ketika pertemuan pemimpin AMANAH, DAP, WARISAN dan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

"Mesyuarat mengambil maklum bahawa cadangan ini adalah untuk mencari penyelesaian kepada usaha mencukupkan sokongan Ahli Parlimen bagi PH membentuk semula kerajaan.

"Setelah mengambil pandangan daripada semua ahli-ahli mesyuarat, JKP Nasional AMANAH menganggap bahawa persoalan ini perlu diputuskan bersama di dalam Majlis Presiden PH.

"Ia demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani persoalan ini. Mesyuarat menegaskan persoalan mengambil kembali kerajaan adalah sesuatu yang perlu diutamakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loading...

Mengulas lanjut, Khalid berkata, mesyuarat JKP Nasional dengan ini bersetuju untuk merujuk perbincangan berkaitan pencalonan Perdana Menteri kepada Majlis Presiden PH dalam waktu terdekat untuk mendapat keputusan bersama.

Pada Sabtu lalu, Dr Mahathir mencadangkan supaya Mohd Shafie menjadi calon Perdana Menteri bagi PH dan sekutunya dipersetujui sebulat suara dalam pertemuan tidak rasmi gabungan itu.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, perbincangan tidak rasmi itu dihadiri Mohd Shafie; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; beberapa pimpinan DAP termasuk Setiausaha Agung, Lim Guan Eng; Tan Kok Wai; Anthony Loke; M Kulasegaran dan Liew Chin Tong.

Selain itu, bekas pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Muhkriz Mahathir dan Datuk Marzuki Yahya turut hadir. – Bharian

ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram