Siti Kasim disiasat isu haramkan sekolah tahfiz kalau mahu haramkan arak



Peguam dan aktitivis, Siti Kasim kini disiasat polis berhubung dakwaan dia menggesa agar kerajaan mengharamkan sekolah tahfiz di negara ini.

Siasatan itu dibuat selepas dia mengkritik PAS kerana membuat gesaan agar penghasilan serta penjualan arak digantung sehingga isu pemandu mabuk dapat diatasi.

"Nampaknya sama seperti orang lain sesiapa yang mempersoalkan PIS (PAS) akan dipanggil oleh Bukit Aman. Saya salah seorang daripadanya. Hannah Yeoh (ahli parlimen Segambut) seorang lagi," tulisnya di Facebook petang tadi.

Loading...

Pada 26 Mei lalu Siti membuat hantaran mengenai isu penjualan arak dengan memberitahu, masalah sebenar bukanlah alkohol sebaliknya peminum minuan keras.

"Sama macam sekolah-sekolah tahfiz (ia) bukan masalah. Pengurusan sekolah itu yang menjadi masalah," tulisnya.

Bersama hantaran itu ialah tangkap layar berita mengenai desakan PAS agar penjualan arak digantung sehingga ada langkah diambil bagi menghalang pemandu mabuk.

"Kamu nak haramkan alkohol hanya kerana ia sesuai dengan kehendak kamu? Jadi haramkan sekolah-sekolah tahfiz juga kerana ia menyebabkan banyak kemudaratan kepada anak-anak kita yang tak berdosa," katanya.

Loading...

Sementara itu ketika dihubungi Siti berkata siasatan polis dibuat ekoran ada beberapa aduan dibuat Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) kepada pihak berkuasa.

"Siasatan dibuat berhubung hantaran saya mengenai PAS yang bising sangat mengenai pengharaman alkohol.

"Sesetengah pihak sudah memutar belit kenyataan saya dan ia menjadi tular.

"Pekida membuat beberapa aduan ke atas saya," katanya.

Pada masa sama Siti berkata dia bercadang untuk menyaman Pekida kerana menganggap pertubuhan berkenaan mengemukakan aduan palsu ke atasnya.


"Saya nak saman mereka kerana membuat laporan palsu kepada polis berdasarkan artikel dari laman sesawang pihak ketiga," katanya.

Menurut Siti polis akan mengambil keterangannya pada Khamis ini.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Siti disiasat.

Katanya ia dibuat mengikut Seksyen 505 Kanun Jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN: Haramkan sekolah tahfiz kalau mahu haramkan arak, kata Siti Kassim


Join our Telegram Channel
Telegram