Saya digelar ‘babi’, ‘bodoh’ oleh pegawai SPRM, dakwa pembantu Syed Saddiq



PETALING JAYA: Seorang pembantu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengherdik dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya ketika disoal siasat sebagai saksi dalam kes kehilangan RM250,000 di rumah bekas menteri itu kelmarin.

Siti Nurul Hidayah mendakwa pegawai agensi anti-rasuah itu mengherdik dan menggelarnya “babi” dan “bodoh”.

Beliau turut mendakwa salah seorang pegawai SPRM hampir menamparnya dan seorang lagi menyepak kerusi yang didudukinya dengan kuat.

“Mereka juga katakan saya layak hidup sebatang kara disisih keluarga semata-mata tak puas hati dengan jawapan saya.


Loading...

“Kemudian mereka meminta saya berdiri sebelah kaki dan angkat kedua tangan ke atas dan jika penat boleh tukar kaki yang lain.

“Sepatutnya ambil penyataan saya sebagai saksi, bukan suspek nak takutkan saya untuk berikan jawapan dikehendaki,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Nurul berkata, beliau juga tidak dibenarkan berjumpa peguamnya selepas tidak selesa dengan layanan pegawai SPRM yang menyoal siasatnya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali menolak sekeras-kerasnya dakwaan Nurul dan berkata dakwaan beliau dikerumuni 4 hingga 5 pegawai lelaki serta diugut rekaan semata-mata.


Loading...

“Sebaliknya, sepanjang proses rakaman pernyataan dibuat, beliau telah ditemani 2 pegawai wanita sepanjang masa.

“Kehadiran beliau adalah secara sukarela sebagai antara saksi utama yang telah memberikan keterangan penting dalam membantu SPRM menyiasat kes ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam mendakwa kerajaan Perikatan Nasional menggunakan SPRM untuk menekan ahli politik pembangkang.

Ini selepas beberapa ahli Pemuda PPBM ditahan berhubung kehilangan wang Syed Saddiq.


Please subscribe

Mahathir mendakwa seorang tahanan wanita disoal siasat dalam sebuah bilik gelap oleh lelaki.

Ketua Penerangan Pemuda PPBM, Ulya Aqamah Husamuddin mengesahkan Mahathir merujuk Nurul dan beliau disoal siasat berhubung kehilangan wang itu.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan melaporkan siasatan ke atas aduan berhubung kehilangan wang tunai kira-kira RM250,000 milik Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar itu membuat laporan polis pada 29 Mac lalu dengan berkata wang itu disimpan dalam peti besi di rumahnya. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM nafi ugut, lapor polis difitnah pembantu Syed Saddiq


Join our Telegram Channel
Telegram