Musa Aman bebas 46 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram



Musa Aman lepas dan bebas

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram kontrak konsesi balak di Sabah.

Ia berikutan pihak pendakwaan menarik balik 16 pertuduhan pengubahan wang haram dan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak itu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan pihak pembelaan dalam prosiding hari ini yang sepatutnya ditetapkan untuk pengurusan kes.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berdepan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta, dan 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta serta S$2.5 juta.

Loading...

Musa didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Sabah, iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak yang berjumlah AS$63.3 juta.

Mengikut pertuduhan, wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberi kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank serta institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.

Semua pertuduhan terhadap Musa dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Loading...

Musa juga menghadapi 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta dan S$2.5 juta.

Mengikut pertuduhan pertama, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 pula, Musa didakwa menerima S$2.5 juta atas sebab sama. – Hmetro

Berita penuh menyusul



Join our Telegram Channel
Telegram