Dua ADUN UPKO keluar parti, jadi ADUN Bebas sokong PN



DUA ahli Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib mengumumkan keluar dari parti serta-merta hari ini.

Limus yang sebelum ini menyandang jawatan Naib Presiden dan James merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UPKO menjelaskan mereka membuat keputusan terbabit kerana menganggap kerajaan negeri Sabah tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Susulan itu, mereka memutuskan untuk keluar dari parti dan melepaskan semua jawatan dalam parti untuk menjadi ADUN bebas.

Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu berkata, beliau hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti yang tidak konsisten dalam perjuangan dan hala tuju parti.


Loading...

"Langkah terbaik yang perlu saya buat adalah meninggalkan UPKO demi kebaikan dan kemajuan rakyat dari kawasan saya.

"Saya yakin Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membawa perubahan landskap di dalam negara dan Sabah khususnya.

"Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, UPKO dibawa oleh presiden untuk menyokong kerajaan persekutuan dan saya akur keputusan parti ketika itu. Baru-baru ini, UPKO tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan dan masih menyokong Tun Mahathir Mohamad.

"Justeru, saya dan rakan-rakan berpendapat adalah tidak wajar untuk terus-menerus menyokong kerajaan negeri yang menjadi pembangkang di Persekutuan," katanya dalam sidang media hari ini.


Loading...

Dalam pada itu, James merangkap ADUN Sugut berkata beliau menyertai UPKO kerana melihat kerajaan negeri adalah sebahagian daripada persekutuan.

"Mengimbas kembali tindakan meninggalkan UMNO pada PRU lepas, saya melihat kerajaan negeri adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

"Namun, apabila pergolakan politik yang berlaku baru-baru ini, kerajaan negeri turut mengambil keputusan untuk tidak bersama PN.

"Selepas memikirkan secara mendalam dan rasional, langkah terbaik adalah meninggalkan parti dan kerajaan WARISAN serta menjadi ADUN yang bekerjasama dengan PN demi kebaikan dan kemajuan kawasan saya, Sugut.

"Saya yakin dalam sehari dua ini, lebih ramai akan menyusul keluar dari parti," katanya.

Loading...

James turut menegaskan kerajaan negeri harus bekerja dengan kerajaan Persekutuan untuk kebaikan rakyat dan pembangunan Sabah.

"Pada pandangan saya kerajaan negerj masih gagal. Tiada pembangunan yang dibuat selain hanya meneruskan pembangunan dulu," katanya.

Kedua-dua ADUN berkenaan turut menjelaskan buat masa ini mereka belum memutuskan parti mana yang akan disertai mereka namun mereka cenderung memilih parti yang membawa kebaikan kepada rakyat.

Limus dan James turut merakamkan penghargaan mereka kepada Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau dan juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal sepanjang pembabitan mereka di dalam parti serta menjadi sebahagian kerajaan negeri Sabah. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram