Anwar alu-alukan saranan Najib siasat skandal forex Mahathir



Anwar Ibrahim menyambut baik saranan bekas perdana menteri Najib Razak agar Jabatan Peguam Negara membuka semula fail siasatan mengenai skandal pertukaran wang asing (forex) bernilai RM33 bilion pada 1990-an.

Presiden PKR itu - yang merupakan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada waktu tersebut - turut mengucapkan terima kasih kepada Najib atas cadangan berkenaan sambil menegaskan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan berkaitan skandal itu.

"Sekiranya kita ingin menyiasat skandal forex, saya setuju, tidak ada halangan untuk itu.

Loading...

"Apa penting ialah saya tidak mencuri satu sen pun, saya tidak mencuri RM1 bilion, saya tidak mengambil balak dan saham.

"Oleh itu, jika (pihak berkuasa) ingin menyiasat forex atau 1MDB, teruskan," kata Anwar dalam tazkirah yang disiarkan secara langsung di Facebooknya semalam.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) begi meneliti skandal forex pada 2017 mendapati bahawa Bank Negara kehilangan RM31.5 bilion dalam perdagangan pertukaran mata wang antara 1992 dan 1994.

RCI itu juga berpendapat perdagangan "berlebihan" dan "spekulatif" itu merupakan pelanggaran jenayah amanah di bawah Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan.

Loading...

Suruhanjaya itu mengesyorkan agar perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Anwar disiasat untuk menentukan sama ada mereka menyembunyikan fakta tersebut daripada kabinet.

Namun, tahun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata bahawa laporan polis berdasarkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai perkara itu telah diklasifikasikan sebagai "tidak ada tindakan lanjut".

Hal itu katanya berlaku disebabkan kurangnya bukti dokumen mengenai dakwaan salah laku, dan juga bahawa pengadu yang asal - iaitu setiausaha RCI Yusof Ismail - menarik balik laporan polis yang dibuatnya pada 30 Nov 2017. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram