Loke: Tiada tolak ansur pada pemandu mabuk



Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke berkata "tiada tolak ansur kepada pemandu mabuk."

"Pendirian kami amat jelas. Kami tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras.

"Tetapi, selepas minum alkohol, anda tidak ada hak untuk memandu dan membahayakan orang lain.

"Pemandu mabuk mesti dihukum seberat-beratnya," katanya pada suatu kenyataan malam tadi.

Loading...

Beliau mengulas kejadian seorang lelaki maut di Kuantan, dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu yang di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus pada malam 25 Mei lalu.

"Takziah kepada keluarga mangsa. Satu lagi nyawa terkorban diakibatkan oleh pemandu mabuk," katanya.

Loke berkata ketika beliau memegang jawatan menteri pengangkutan, beliau telah merangka beberapa cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperketat undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

"Meminda Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menyebabkan kematian boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan minima 6 tahun (hukuman penjara sekarang ialah tidak kurang daripada 3 tahun tetapi tidak lebih daripada 10 tahun).

Loading...

"Menurunkan kadar alkohol yang dibenarkan daripada 80 mg alkohol dalam 100 ml darah kepada 50 mg alkohol dalam 100 ml darah (atau kurang) mengikut piawaian World Health Organization.

"Meningkatkan denda dan penjara kepada pemandu yang melebihi had yang dibenarkan walaupun tidak terlibat dalam kemalangan," jelasnya.

Selain itu juga, Loke yang juga MP Seremban berkata ketika itu beliau turut mencadangkan untuk menggantung lesen memandu untuk seumur hidup sekiranya seseorang didapati bersalah menyebabkan kematian semasa memandu dalam keadaan mabuk.

"Saya berpendapat seseorang pemandu mabuk yang telah meragut nyawa orang lain tidak layak untuk memandu di atas jalan raya," katanya lagi.  – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram