Kerajaan hari ini tidak sah, tegas Mahathir dan Anwar



Kerajaan Perikatan Nasional hari ini tidak sah kerana dibentuk tanpa mendapat mandat daripada rakyat, tegas Pengerusi Bersatu, Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Perkara itu ditegaskan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena memperingati ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Loading...

"Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

"Ia tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata.

"Malah tidak ada satu pun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat," kata Mahathir dan Anwar.

Loading...

Menurut kedua-dua pemimpin itu, mereka tidak sanggup menggadaikan moral dan etika untuk menyokong kerajaan hari ini.

"Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara," kata mereka. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram