Covid-19: Madrasah Solok Duku, Melaka jadi kluster baharu



KUALA LUMPUR: Madrasah di Solok Duku, Masjid Tanah, Melaka dikenal pasti sebagai kluster terbaharu, daripada enam kluster yang dikenal pasti berkaitan madrasah tahfiz di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini seramai 107 pelajar, guru dan ahli keluarga daripada kluster Solok Duku sudah disaring.

Hasil saringan itu, dua kes positif Covid-19 dalam kalangan 35 pelajar manakala tiada kes positif membabitkan 10 guru dan kakitangan madrasah berkenaan.

Lima lagi kluster adalah madrasah di Sungai Salan, Pahang (84 kes); madrasah di Sungai Lui, Selangor (172 kes); madrasah di Air Merbau, Melaka (41) dan masing-masing enam kes di madrasah di Lancang, Pahang serta di Penanti, Pulau Pinang.

Loading...

Hingga kini, seramai 19,209 orang pelajar, guru dan kakitangan sudah dikenal pasti daripada sebanyak 370 buah madrasah dan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.

"Daripada jumlah keseluruhan ini, 12,384 sampel telah diuji, iaitu 64.5 peratus dan keputusannya adalah 635 kes positif Covid-19, manakala 10,755 kes lagi negatif dan masih menunggu keputusan (994 kes).

"Susulan penularan kes Covid-19 dalam kalangan peserta perhimpunan di Seri Petaling, KKM sudah menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pendekatan tertumpu kepada madrasah tahfiz.

"Ia membabitkan saringan dan persampelan pelajar, guru dan kakitangan dari madrasah, tahfiz, sekolah pondok dan kontak rapat mereka yang berkait rapat dengan perhimpunan berkenaan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Loading...

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, hampir 85 peratus daripada 635 kes positif dalam kalangan madrasah tahfiz dikesan terdiri daripada mereka yang tidak bergejala, seterusnya menimbulkan kebimbangan kumpulan berkenaan berkemungkinan menjangkiti ahli keluarga dan rakan tanpa disedari.

KKM mendapati hanya 96 kes atau 15.1 peratus daripada kes yang didapati positif dalam kalangan pelajar dan pengajar serta kakitangan sekolah dan madrasah tahfiz yang bergejala.

Berikutan tidak bergejala, pelajar dan pengajar serta kakitangan madrasah tahfiz itu berkemungkinan beranggapan bahawa mereka sihat.

"Daripada sebanyak 635 kes positif yang dikesan dalam kalangan kumpulan madrasah tahfiz, 539 individu atau 84.9 peratus tidak bergejala. Hampir 85 peratus tidak bergejala.

Loading...

"Yang begejala hanya 96 atau 15.1 peratus. Kalau tidak ada gejala, mereka ingatkan mereka sihat, tetapi mereka mungkin akan menjangkiti rakan di kampung atau membawa virus itu serta menjangkiti keluarga, terutamanya yang kita bimbang warga emas, ibu bapa atau datuk dan nenek mereka," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya ingin mengingatkan supaya pelajar, pengajar dan kakitangan madrasah tahfiz untuk tampil membuat saringan di Klinik Kesihatan atau Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalani persampelan ujian Covid-19.

Bagi mereka yang masih belum pulang, pihak terbabit diminta kekal berada di madrasah atau pusat tahfiz serta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Klinik Kesihatan saringan terdekat.

KKM juga mengalu-alukan kerjasama daripada pemilik atau pengurusan madrasah terbabit untuk menghubungi PKD berdekatan bagi menyalurkan maklumat diperlukan berkaitan pelajar atau kakitangan di premis masing-masing. Ia supaya KKM dapat menjalankan tindakan pendekatan tertumpu. – BHarian



Join our Telegram Channel
Telegram