Bank selalu untung, BNM perlu berpihak kepada rakyat, kata Ku Li



PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan era 80-an Tengku Razaleigh Hamzah berkata Bank Negara Malaysia perlu mengambil pendirian yang memihak kepada peminjam, di sebalik kontroversi akibat kekeliruan mengenai moratorium pinjaman bank baru-baru ini.

“Apalah sangat jumlah pendapatan beberapa bulan yang hilang daripada faedah pinjaman sewa beli yang tidak kemas ini? Bertimbang rasalah,” katanya kepada FMT.

“Sepatutnya sebagai sebuah badan penyelia kewangan, BNM, di waktu sebegini, perlu berada di sisi peminjam.”

Kontroversi timbul selepas pengumuman BNM dan Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) mengenai tawaran moratorium pinjaman sewa beli baru-baru ini yang mencetuskan kemarahan peminjam.

Loading...

Kenyataan mereka dilihat berbeza daripada apa yang difahami sebelum ini oleh peminjam yang mengambil tawaran moratorium bagi pinjaman sewa beli, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Soalan lazim atau FAQ diedarkan BNM Mac lalu antara lain dikatakan menyatakan bayaran bulanan sewa beli tidak akan berubah sebelum dan selepas tempoh moratorium 6 bulan.

Bagaimanapun, ABM baru-baru ini menggariskan 2 pilihan kepada peminjam yang memilih moratorium.

Ia sama ada mereka membayar penangguhan ansuran terkumpul 6 bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan faedah tambahan, atau memilih untuk meneruskan pembayaran ansuran selepas Oktober 2020 dengan lanjutan 6 bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang.

Ini bermakna terdapat faedah ke atas faedah yang tertangguh bayaran kerana mengambil tawaran moratorium.

Loading...

Kenyataan ABM kemudiannya disahkan BNM yang turut mengumumkan perubahan prosedur moratorium pinjaman perjanjian sewa beli (HP) dan pembiayaan Islam berkadar tetap.

Menurut BNM, peminjam perlu melengkapkan dokumen untuk memberikan kebenaran menyertai moratorium supaya sah di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Keputusan itu dianggap U-turn oleh beberapa pihak yang mempersoalkan jika pihak berkuasa kini menyebelahi bank yang menanggung kerugian kerana menawarkan moratorium ini.

Tengku Razaleigh yang bersimpati dengan orang ramai, mengingatkan bank komersial bahawa industri perbankan adalah satu-satunya industri yang sentiasa untung.

“Dengan ‘lockdown’ atau separa ‘lockdown’, sama ada kita kerja mahupun tidak, sebenarnya sewaktu semua orang sedang tidur, mereka sedang menjana keuntungan,” katanya.

“Meskipun dengan moratorium, industri bank mendapat keuntungan daripada pinjaman yang lain. Mereka tidak mungkin rugi melainkan mereka mencuri atau menipu.”

ARTIKEL BERKAITAN:

BNM bagaimanapun menafikan pernah berkata faedah akan dilupuskan, sebaliknya kesal timbul kekeliruan yang “mungkin disebabkan ilustrasi pengiraan” yang ditunjukkan pada versi awal soalan lazim.

Tengku Razaleigh bagaimanapun berkata, adalah jelas apa yang disasarkan moratorium.

“Kalau diberi ‘moratorium’, (ia) bererti, mesti dikecualikan ‘penalti, faedah dan sebagainya’ dan bagi institusi ‘Islamik’ bukan saja tak boleh kenakan faedah bahkan fikir hendak kenakan faedah pun salah, kerana itu bertentangan dengan perundangan syariah,” katanya.

Tengku Razaleigh berharap BNM dapat memberikan pengecualian kepada peminjam.

“Dalam keadaan susah sekarang, elok sangat pengecualian diberi kepada mereka yang terhutang.

“Ia tidak akan menyebabkan kerugian besar sangat,” kata beliau. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram