Agong pujuk tapi Mahathir tetap mahu letak jawatan



KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dalam titah Baginda memberi penjelasan berkenaan proses peletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baginda telah meminta supaya Dr Mahathir tidak melepaskan jawatan tersebut namun, beliau kekal dengan pendiriannya.

“Pada 24 Februari 2020 yang lalu; naratif lanskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

“Sekitar jam 5.00 petang pada hari yang sama; Beta telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohammad.


Loading...

“Dalam pertemuan tersebut; Beta telah meminta Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohammad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, Baginda menjelaskan bahawa baginda bertanggungjawab dalam melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti yang termaktub dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada Beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari 2020; Beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.


Loading...

“Pada 29 Februari 2020, Beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” titah baginda.

Malah, Baginda juga berkenan melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam membuat perhitungan secara demokrasi.

“Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya.

“Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8,” titah Baginda.


Malah, Al-Sultan Abdullah juga menegaskan bahawa Baginda telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara.

“Pada masa yang sama, Beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat jelata yang telah memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga membolehkan Beta menggalas amanah ini.

“Kepada kerajaan Beta di bawah kepimpinan memanda Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan.

“Nasihat Beta; laksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata,” titah baginda lagi. – Astro Awani


Join our Telegram Channel
Telegram