Siti Kasim pertikai kenyataan menteri agama dalam bahasa Arab



Aktivis sosial Siti Kasim mempersoalkan mengapa kenyataan media yang dikeluarkan menteri agama ditulis dalam bahasa Arab.

Ini selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengeluarkan kenyataan media berhubung kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan, Jumaat lalu.

“Bahasa kebangsaan kita bahasa Arab atau bahasa Melayu?.

“Boleh tolong cerita sikit, kenapa kenyataan media menteri agama dalam bahasa Arab,” tulis Siti Kassim di Facebook miliknya.


Loading...

Untuk rekod, kenyataan media dalam bahasa Arab yang disiarkan di Instagram itu merupakan terjemahan daripada kenyataan media dalam bahasa Melayu.

Sementara itu sorang pengguna Twitter @mkhairulazri mencadangkan terjemahan untuk urusan rasmi kerajaan atau menteri ke bahasa selain bahasa Melayu mesti dibuat pada kertas putih sahaja tanpa kepala surat (letterhead).

Selepas dipertikai sebahagian warganet, Facebook Friends of Dr Zulkifli Al-Bakri memuat naik satu hantaran dengan memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.

“Tidak semua kenyataan media diterjemahkan dalam bahasa Arab, kecuali yang mempunyai nilai bagi dunia antarabangsa terutamanya Timur Tengah.

“Dalam konteks ini, pengurusan zakat di Malaysia memang antara tumpuan dunia luar,” jelasnya.


Loading...

Laman Facebook itu turut menyatakan semua kenyataan Dr Zulkifli yang berbahasa Melayu boleh didapati di portal menteri tersebut dan media sosial lain.

“Kenyataan media dalam bahasa Inggeris juga boleh didapati di Facebook pada hantaran yang sama,” jelasnya.

Malaysiakini telah menghubungi Dr Zulkifli untuk mendapatkan maklum balas beliau.

Terdahulu, Dr Zulkifli mengumumkan kadar zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan pada tahun ini ditetapkan pada RM5 dan RM7 selepas mencapai persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan.

Kadar itu ditetapkan dengan melihat kepada situasi semasa ekoran penularan wabak Covid-19. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN:




Join our Telegram Channel
Telegram