Hikmah PKP Sungai Melaka bertambah jernih



Di sebalik rungutan ramai susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sudah lebih sebulan dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, perintah itu memberikan hikmah terhadap alam sekitar, termasuk Sungai Melaka.

Menurut penduduk di Melaka yang ditemubual, sungai yang menjadi tumpuan pelancong itu kini menjadi lebih jernih dan kawasan sekitarnya lebih tenang.

Keadaan Bandaraya Melaka yang sering dikunjungi pelancong serata dunia kelihatan lengang serta keadaan Sungai Melaka tenang apabila tiada bot-bot yang membawa pelancong di situ.

Antara perkongsian Noorbaeyah Bakri, 35, penduduk di negeri Bandar Bersejarah itu,

“Tempat kerja saya dengan Sungai Melaka sangatlah dekat. Jadi keadaan Sungai Melaka sebelum ni agak kotor sedikit.. ramai pelancong yang hadir majoritinya dari dalam dan luar negara.


Loading...

“Sejak PKP ni, tiada lagi pelancong. Jadi keadaan sekarang Sungai Melaka makin bersih dan tenang.

“Kemungkinan besar sebab kilang-kilang banyak ditutup. Jadi keadaan udara yang baik dan Sungai Melaka tidak tercemar, kemungkinan juga sebab bot-bot tak lagi lalu lalang,” katanya.

Noorbaeyah yang merupakan penyelia di kedai penjagaan diri dan kesihatan, Watsons itu berkata, sebelum penguatkuasaan PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu, sungai itu dalam keadaan yang agak kotor dan berbau.

“Ia berpunca dari pembuangan sampah dari penduduk dan pelancong. Kerja-kerja pembersihan ada dilakukan, jika boleh kerap dilakukan. (Tetapi) semasa PKP ni tahap kebersihan sungai bertambah baik,” katanya.

Untuk rekod, selain Sungai Melaka, Sungai Klang turut menyaksikan perubahan yang sama apabila PKP telah membawa kepada pengurangan sebanyak 43 peratus jumlah sampah yang dikeluarkan daripada sungai itu.


Loading...

Terdahulu, Ketua Menteri Sulaiman Md Ali menyeru semua pihak termasuk orang ramai supaya mengekalkan keadaan Sungai Melaka yang kelihatan bersih ketika ini.

Beliau berkata, keadaan Sungai Melaka yang bersih itu menunjukkan pelaksanaan PKP oleh kerajaan mempunyai banyak hikmah untuk difikirkan dan diinsafi bahawa kerosakan serta kebinasaan yang berlaku adalah akibat kerakusan manusia.

Justeru beliau menyeru supaya semua pihak mencintai dan memelihara alam sekitar serta sungai untuk kepentingan generasi akan datang.

"Keadaan ini (Sungai Melaka bersih) berikutan pertamanya tiada aktiviti seperti sebelum penularan Covid-19 berlaku di persekitaran dan sepanjang Sungai Melaka akibat PKP; kedua di hulu Sungai Melaka juga segala aktiviti tidak rancak berlaku akibat itu.


"Ketiga segala aktiviti perjalanan bot persiaran tidak lagi beroperasi seperti biasa di sepanjang sungai itu dan keempat bot persiaran menggunakan bahan bakar diesel dan sistem penyejukan enjin juga menjadi punca pencemaran kepada air sungai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sulaiman juga berharap tahap kebersihan dan keindahan lokasi pelancongan menarik di Melaka ini dapat terus dikekalkan bukan sahaja sepanjang tempoh PKP, malah pada masa yang akan datang.

"Kita tahu sepanjang tempoh PKP ini, tiada kemasukan pelancong dari luar ke negeri Melaka, malah penduduk tempatan juga tidak boleh bebas bergerak.

"Sebab itu, saya sudah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan di Melaka supaya menjadikan agenda meningkatkan tahap keindahan, kebersihan dan keceriaan kawasan pentadbiran masing-masing sebagai keutamaan," katanya. – Mkini/Cinca









Join our Telegram Channel
Telegram