Fuziah: Ada cubaan ambil alih email, facebook selepas serah telefon kepada SKMM



Fuziah Salleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendakwa kemungkinan terdapat pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) dan salah guna terhadapnya semasa disiasat.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa seorang pegawai SKMM mengambil gambarnya ketika siasatan suruhanjaya itu dan polis, yang kemudiannya dilihat dimuat naik ke Instagram sebuah Umno bahagian.

“Namun ketika kenyataan media ini ditulis hari ini, link (pautan) tersebut tidak boleh diakses lagi.

“Namun begitu, ia masih boleh diakses pada hari semalam 13 April 2020 (Isnin) ketika surat aduan dibuat,” kata anggota parlimen Kuantan.


Loading...

Polis pada Jumaat lalu mengambil keterangan Fuziah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebanjiran warga Malaysia yang pulang dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed, berkata catatan bersama sebuah rakaman video berhubung dakwaan itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama "Fuziah Salleh".

Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian.

'Bilik siasatan kawasan larangan ambil gambar'

Dalam kenyataan hari ini, Fuziah berkata beliau khuatir berlaku pelanggaran SOP, memandang bilik siasatan merupakan kawasan larangan mengambil gambar.

“... dan saya juga mengadu berkenaan kekhuatiran saya bahawa ada kemungkinan berlaku salah guna kuasa pihak yang bertanggungjawab ke atas siasatan terhadap saya,” katanya.


Loading...

Beliau juga membuat aduan mendakwa terdapat cubaan untuk membuka dan mengambil alih akaun e-mel serta cubaan menukar kata laluan Facebook beliau pada hari Ahad lalu.

Ia, katanya, berlaku selepas telefon diserahkan kepada MCMC pada malam siasatan tersebut dijalankan pada Jumaat.

“Turut di nyatakan di dalam aduan tersebut ialah harapan saya bahawa SKMM akan mengambil tindakan di atas salah laku pegawai berkenaan sekiranya di dapati bersalah,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan SKMM dan Umno bahagian yang dirujuk Fuziah itu. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram