Agama Bahai: Dari Syiah kepada agama baru



Bahai antara agama muda yang lahir di abad ke 19. Ia adalah sebuah agama yang menekankan soal kesatuan bagi seluruh manusia dengan menyatukan agama-agama yang ada.

Agama Bahai lahir di Parsi (sekarang Iran) pada abad ke 19 M. Pendirinya menggelarkan dirinya sebagai Baha’ullah.

Agama Bahai percaya bahawa Tuhan mengutuskan para rasulnya untuk mendidik manusia. Manakala Baha’ullah dianggap sebagai rasul yang terbaru diutuskan ke dunia seperti rasul-rasul dalam Islam.

Ramai ulama Islam kontemporari telah menghukum Bahaiyyah sebagai sebuah agama yang tidak ada kaitan dengan Islam.

Loading...

Sejarah

Sebelum wujudnya agama Bahai sudah ada kesan yang mempengaruhi kepada kewujudan Bahai itu sendiri. Ia memiliki beberapa tahap sebelum terbentuknya pengaruh penyebaran Bahai.

Pada abad ke 18, terdapat seorang tokoh Syiah Imamiyyah bernama Shaykh Ahmad ibn Zayn al-Din (1753–1826) yang membawa aliran yang bernama Shaykhisme. Setelah kematian Shaykh Ahmad, salah seorang tokoh yang terpengaruh dengan ajaran Shaykh Ahmad adalah bernama Sayyid Ali Muhammad yang mula menonjol dibawah pengaruh Shaykhisme itu dengan membawa sebuah ajaran baru yang bernama Bab atau Babiyah yang bermaksud pintu.

Pada tahun 1844 Sayyid Ali Muhammad dari Iran atau lebih dikenali dengan gelarnya Sang Bab mula dikenali ramai apabila beliau mengumumkan bahawa telah diwahyukan oleh Allah kepadanya melalui malaikat Jibril. Malah beliau telah mengaku sebagai seorang nabi yang diutuskan oleh Allah.

Ajaran Bab mendapat sambutan yang besar dikalangan pengikutnya di Iran. Akan tetapi beliau telah dituduhan murtad kerana telah mengaku sebagai seorang rasul baru di dalam Islam. Sehingga menyebabkan beliau dipenjarakan oleh pemerintah pada ketika itu. Antara pengkagum kepada ajaran Bab ini salah seorang pengikutnya yang bernama Mirza Hussein Ali atau dikenali sebagai Baha’ullah yang menjadi pengasas kepada agama Bahai.

Pada tahun 1850 Ali Muhammad atau Sang Bab telah dihukum mati dan mayatnya telah diseludup oleh para pengikutnya secara diam-diam, dan akhirnya dibawa dan ditanam ke Bukit Karmel di Palestin (sekarang Israel) dan dikuburkan di suatu tempat yang ditentukan oleh muridnya yang menjadi legasi penyambung ajaran Bab iaitu Mirza Hussein Ali. Makam Sang Bab kini menjadi tempat suci bagi penganut agama Bahai.

Loading...

Pada tahun 1848 sehingga 1852, terdapat lebih dari 20 000 penganut Bab telah dibunuh, termasuk hampir semua pemimpinnya. Mirza Hussain Ali yang lebih dikenal dengan gelarnya Baha’ullah yang bermaksud Kemuliaan Tuhan yang merupakan seorang bangsawan Iran yang berketurunan Syiah.
Beliau menjadi pendokong utama ajaran Bab.

Beliau juga ditahan dan dipenjara di atas tuduhan ajaran yang dibawa olehnya itu menyeleweng. Pada tahun 1852, ketika Baha’ullah di penjara bawah tanah di kota Tehran, beliau mendakwa telah menerima wahyu sepertimana sama yang didakwa oleh Sang Bab sebelum ini. Beliau juga telah mengaku sebagai seorang rasul.

Setelah beberapa tahun Baha’ullah telah dibebaskan dari tahanan bawah tanah, beliau telah dipindahkan ke Baghdad, Iraq. Pada peringkat awalnya, beliau tidak mengumumkan misinya kepada para pengikut Bab yang berada di Iraq kerana situasi yang kurang menyenangkan untuk menyebarkan fahaman beliau. Beliau mengambil pendekatan untuk menghidupkan kembali pengaruh ajaran Bab dengan tulisan beliau sehingga tulisan itu dianggap sebagai kitab suci yang penting.

Akhirnya pada tahun 1863, di sebuah taman yang diberi nama Taman Ridwan, Baha’ullah telah mengumumkan misi wahyu yang diperolehinya kepada para pengikut Bab yang berada di Baghdad, dan sejak itu ajaran Bab mula dikenali sebagai agama Bahai.

Pengaruh gerakkan Bahai juga mendapat sambutan yang meluas. Beliau membawa slogan penyatuan kepada semua manusia dan agama. Manakala pengikut kepada aliran Shaykhisme di Iran juga turut beramai-ramai mengikut ajaran yang dibawa oleh Baha’ullah ini.


Pada tahun 1868, Baha’ullah telah dipulaukan oleh pemerintahan Turki Uthmaniyyah ke kota Acre di Palestina (sekarang Israel), yang pada waktu itu tempat ini dikenali sebagai penjara bawah pemerintahan Uthmaniyyah. Akan tetapi pada ketika itu agama Bahai yang dibawa oleh beliau sudah melebar ke Iran, Iraq dan Palestin. Ini kerana tulisan-tulisan Baha’ullah yang ditulis di Iraq telah menjadi rujukan utama bagi penganut agama yang dibawanya. Akhirnya penahanan itu membawa kepada kematian Bahaullah pada tahun 1892. Kota Acre (Israel kini), telah menjadi kiblat bagi agama Bahai .

Setelah itu, agama Bahai diteruskan oleh salah seorang anak Mirza Hussein Ali (Baha’ullah). Anaknya itu menggelarkan dirinya sebagai Abdul Baha. Beliau juga berperanan untuk memperkukuhkan struktur keagamaan Bahai. Abdul Baha telah membuat suatu perjalanan khusus untuk menyebar agama Bahai ke seluruh dunia. Dari tahun 1910-1913 beliau ke Mesir, Inggeris, Skotland, Perancis, Amerika Syarikat, Jerman, Austria, dan Hungary, di mana beliau telah menyebarkan prinsip-prinsip ajaran Bahai.

Abdul Baha melakukan misionari sehinggalah beliau meninggal di Haifa, Israel pada tahun 1921 dan dikuburkan di salah satu ruang dari makam Sang Bab tanah suci bagi penganut Bahai.

Setelah matinya Abdul Baha, kepimpinan Bahaiyyah diperturunkan kepada cucu sulungnya yang bernama Shoghi Effendi dan beliau diiktiraf sebagai wali Bahai. Shoghi Effendi banyak menterjemahkan kitab suci Bahai bagi melaksanakan misionari dan pengembangan agama Bahai. Beliau juga banyak membentuk rangkaian agama Bahai di seluruh dunia termasuklah komuniti Bahai di Indonesia. Agama Bahai berkembang pesat khususnya di dunia ketiga. Shoghi Effendi meninggal pada tahun 1957. Setelah itu agama Bahai diselia di bawah Majlis Rohani Bahai sehinggalah pada hari ini. Mereka merujuk kepada tulisan tokoh-tokoh mereka sebagai sumber hukum bagi agama Bahai.


Kepercayaan

Bahai membawa tiga prinsip utama iaitu kesatuan Tuhan, kesatuan agama dan kesatuan manusia. Konsep ketuhanan di dalam Baha’i jelas terpengaruh dengan konsep ketuhanan dalam Islam.

Baha’ullah memperkenalkan Tuhan itu Maha Esa, ia tidak dapat dilihat, tidak memiliki jantina, tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan, yang mencipta segala sesuatu di alam ini.

Bahai juga memperjuangkan persamaan hak antara kaum wanita dan kaum lelaki. Bagi mereka status agama melihat lelaki dan perempuan adalah sama. Oleh kerana Bahai membawa kepada konsep penyatuan manusia maka antara pinsip lainnya hendaklah diri manusia bersih dari segala macam prasangka buruk kepada kelompok lain. Ini kerana ia boleh menimbulkan perbalahan.

Bahai juga menekankan soal kedamaian dunia. Sebab itu pada mereka, konsep jihad atau berperang di dalam agama mereka adalah dilarang. Mereka menganggap perang tidak boleh membawa kepada kedamaian. Selain itu juga Bahai melarang penganutnya menyertai mana-mana parti politik kerana ia boleh mencetuskan perbalahan.

Struktur Bahai adalah merupakan sebuah agama yang sinkretisme. Ia adalah kepercayaan yang menghimpun doktrin agama-agama yang ada lalu meletakkan di bawah kesatuan Bahaiyyah.

Antaranya adalah agama Buddha, Islam, Yahudi, Kristian, Zoroaster dan Hindu sebagai percampuran kepada kesatuan di bawah Bahai. Sebab itu jika dilihat ritual keagamaannya memiliki persamaan dengan agama-agama lain. Konsep ini juga pernah diperkenalkan oleh Akbar di India dengan nama agama Dinu Ilahi.


Ritual

Mengikut kepercayaan Bahai, sembahyang boleh dilakukan di rumah atau di rumah ibadah Bahai yang dinamakan Mashriqu’l-Adhkar yang bermaksud tempat pujian kepada Tuhan.

Di rumah ibadat itu juga mereka boleh berdoa, meditasi dan membaca ayat-ayat suci Bahai dan agama-agama lain.

Rumah ibadah Bahai ini terbuka bagi semua orang tanpa mengira agama. Di samping sembahyang wajib, yang dilakukan secara khusus untuk penganut Bahai, ada pula kegiatan membaca doa bersama-sama dengan penganut agama lain, yang mana ia terbuka bagi semua agama, di mana doa-doa dibacakan dari kitab suci berbagai agama seperti Islam, Hindu, Kristian, Zoroaster dan lain-lain. Sebab prinsip mereka adalah menyatukan semua agama.

Selain itu juga bagi penganut Bahaiyyah mereka dianjurkan untuk membaca kitab suci Bahai setiap hari. Manakala ibadah puasa pula mereka jalankan pada setiap bulan 21 Mei pada setiap tahun.
Bahaiyah juga melarang penganutnya minum minuman beralkohol. Hubungan seks tanpa nikah dan homoseksual juga dilarang. Mereka juga dilarang berjudi.


Kitab Suci

Terdapat banyak kitab suci di dalam Bahai yang kebanyakkan ditulis oleh Baha’ullah. Antara yang paling agung adalah Kitab-I-Aqdas yang merupakan kitab sumber hukum utama di dalam Bahaiyyah. Selain itu mereka juga ada Kitab-I-Iqan yang merupakan buku-buku tulisan Baha’ullah. Kitab-I-Iqan banyak membentuk kepercayaan di dalam Bahai antaranya The Gems of Divine Mysteries,The Seven Valleys dan The Four Valleys.

Kesimpulan

Bahaiyyah merupakan suatu kelompok yang kontroversi di dalam dunia Islam. Pada awal gerakkan mereka dianggap sebagai suatu gerakkan sesat di dalam Islam akan tetapi lama-kelamaan kesesatan mereka melampaui batas sehingga tokoh mereka mengaku sebagai rasul dan membawa ajaran baru.

Bahaiyyah ditentang dan dibanteras oleh pelbagai kelompok muslim. Akan tetapi keberadaan agama ini kukuh dan sukar dibendung setelah tersebarnya tulisan-tulisan Baha’ullah.

Sehinggalah pada hari ini masih ramai ulama Islam mengkelaskan Bahai sebagai satu aliran sesat. Pada hari ini, kesesatan mereka telah membentuk sebuah agama baru.

Bahaiyyah sinonim dengan istilah gerakkan kesatuan agama. Mereka mesra kepelbagaian yang mengelakkan perbalahan berlaku. Sehinggalah mereka mengharamkan berperang dan berpolitik.

Konsep yang dibawa olehnya memiliki persamaan dengan agama yang diperkenalkan oleh Akbar dalam membawa penyatuan agama. Idea ini juga diperkenalkan oleh agama Cao Dai di Vietnam dan juga agama Unitarian Universalist

Sumber: Firdaus Wong Wai Hung



Join our Telegram Channel
Telegram