Tun M yang tolak saya, bukan Melayu – Anwar



PETALING JAYA – Bukan Melayu yang tolak saya, tapi Dr Mahathir Mohamad.

Itu bidas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu tidak menyokong Anwar kerana falsafah politiknya yang liberal.

“Tun Mahathir tolak saya tapi orang Melayu belum pasti. Saya bertanding di semua kawasan majoriti besar orang Melayu sokong saya. Di Port Dickson majoriti lebih 60 peratus sokong saya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.


Loading...

Malah kata Anwar, sokongan kaum Melayu boleh dilihat juga di kawasan lamanya di Permatang Pauh apabila rata-rata pengundi mengundi Melayu masih memilih beliau.

“Di Permatang Pauh, ia adalah sokongan Melayu, jadi saya ingat tidak perlu ulas lebih daripada itu,” katanya lagi.

Dr Mahathir semalam mendakwa masyarakat Melayu belum boleh menerima ideologi liberalisme Anwar kerana takut kedudukan mereka terancam kerana orang Melayu hari ini hanya ada kuasa politik.


Loading...

“Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada UMNO ketika saya jadi Perdana Menteri (pada tahun 1998), dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, Pas masuk. Falsafah dia liberal,” katanya memetik laporan sebuah akhbar arus perdana semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata PH masih belum faham akan sikap tidak menentu Dr Mahathir berhubung kedudukanya dalam PH.

“Kamu kena tanya dia, sebab dia mungkin ubah fikiran esok, dan harapnya dia akan kekal konsisten dengan pandangannya.

“Kalau tanya pendirian PH, PH setakat kita bermesyuarat pagi tadi hanya membabitkan PKR, DAP dan Amanah. Tapi kita akan terus berbincang termasuk dengan Tun Mahathir,” katanya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram