LTTE: Exco Melaka selar Tommy Thomas



PEGUAM NEGARA MELANGKAUI BIDANG KUASA PDRM, MENCAMPURI URUSAN EKSEKUTIF MENTERI DALAM NEGERI, TIDAK MENGHORMATI PRINSIP “RULES OF LAW” & MENYALAHGUNAKAN KUASANYA.

1. Tidak dinafikan Peguam Negara mempunyai bidangkuasa yang luas di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Ia termasuk untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi suatu kesalahan. Bidangkuasa yang luas ini, mengkehendaki Peguam Negara untuk melaksanakan kuasa dengan penuh cermat dan tertib termasuk memastikan “Rules of Law” dihormati.

2. Keputusan Peguam Negara untuk memberhentikan pertuduhan ke atas 12 individu kerana terlibat dengan kumpulan militant Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) adalah amat mengejutkan. Perhatian wajar diberi kepada alasan yang disandarkan oleh Peguam Negara ke atas keputusan tersebut dan masyarakat keseluruhannya berhak untuk membincangkan serta mempertikai asas keputusan tersebut.


Loading...

3. Perlu ditegaskan bahawa Peguam Negara yang sama pada 29 Oktober 2019 memutuskan untuk memulakan prosiding jenayah ke atas 12 individu terbabit dengan menggenakan beberapa pertuduhan berkaitan penglibatan kesemua mereka dengan LTTE. Ini jelas menunjukkan bahawa keterangan pada ketika itu (yang mana kekal sehingga kini) cukup untuk membuktikan penglibatan kesemua 12 individu terbabit di dalam kesalahan terlibat dengan LTTE.

4. Peguam Negara kini mengasaskan keputusan terkininya hanya semata-mata kerana LTTE kononnya kini bukanlah merupakan sebuah kumpulan militan. Adalah ditegaskan bahawa LTTE telah diistiharkan sebagai sebuah kumpulan Militan oleh Menteri Dalam Negeri melalui warta kerajaan bertarikh 12 November 2014. Pengisytiharan tersebut adalah masih kekal dan tidak pernah dibatalkan oleh YB Menteri Dalam Negeri sehingga kini.


Loading...

5. Di atas pengisytiharan inilah maka LTTE merupakan kumpulan militan yang telah membawa kepada siasatan serta penangkapan pihak Polis ke atas kesemu 12 individu ini dan asa kepada pertuduhan oleh Peguam Negara sendiri. Bahkan Mahkamah Tinggi pada 29/1/2020 dan 10/2/2020 berpandangan bahawa “biarpun semakan dibuat setiap enam bulan, namun sehingga kini KDN masih mengekalkan kumpulan itu sebagai pengganas. LTTE diklasifikasikan sebagai aktiviti perbuatan keganasan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001” (rujuk di sini dan di sini)

6. Peguam Negara tidak berhak di sisi undang-undang untuk mempertikaikan klasifikasi oleh Menteri Dalam Negeri hanya bersandarkan kepada fakta-fakta yang terhad dan tidak diasaskan kepada satu laporan oleh pihak berkuasa. Tindakan Peguam Negara bukan sahaja boleh disimpulkan melampaui bidangkuasa Menteri Dalam Negeri dan PDRM malahan seolah-olah tidak menghormati prinsip “Rules of Law” yang menjadi pegangan kerajaan. Sebagai Peguam Negara, sepatutnya perintah Menteri Dalam Negeri dipertahankan namun malangnya ia berlaku sebaliknya.


Loading...

7. Oleh itu, tindakan Peguam Negara yang merumuskan LTTE kini bukan sebagai kumpulan militan dan selanjutnya memberhentikan prosiding ke atas 12 individu yang terlibat dengan LTTE adalah suatu yang meragukan serta dibuat di luar bidangkuasa Peguam Negara. Ini kerana kuasa tersebut terletak sepenuhnya di bawah budi bicara Menteri Dalam Negeri di atas pertimbangan-pertimbangan yang yang privi kepada Menteri Dalam Negeri. Peguam Negara dengan kata lain telah mencampuri urusan eksekutif iaitu Menteri Dalam Negeri dan boleh dianggap sebagai menyalahguna kuasanya.

8. Untuk rekod, bukan sahaja Malaysia yang masih mengekalkan LTTE sebagai kumpulan militant. Berikut adalah beberapa contoh:

(a) Pada 14 Mei 2019 Kerajaan India melanjutkan larangan ke atas LTTE untuk tempoh 5 tahun lagi (rujuk di sini); dan

(b) 14 Januari 2010 – Kesatuan Eropah mengekalkan LTTE dalam senarai pengganas (rujuk di sini).


Loading...

9. Untuk kepentingan negara, saya menyeru rakyat Malaysia seluruh negara bersama-sama mendesak Peguam Negara segera meletakkan jawatannya. Sekiranya Peguam Negara tidak mahu meletakkan jawatan, saya merafak sembah memohon pertimbangan, budi bicara & perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Peguam Negara selaras dengan undang-undang negara.

MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
BERSATU Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram