Lokman tidak akan hadir mesyuarat MKT UMNO petang ini



KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, mengesahkan tidak akan menghadiri mesyuarat MKT, petang ini, kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, rancangan membentuk pakatan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa dinyatakan oleh Ahmad Zahid pada Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO, tidak sepatutnya timbul kerana perkara itu sudah diputuskan dalam perhimpunan agung parti.

Katanya, beliau berpendirian bahawa MKT tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan mengenai perkara berkenaan, sebaliknya ahli parti yang boleh melakukan sedemikian.


Loading...

“Bagaimanapun, melalui maklumat yang saya ada, kemungkinan perkara ini (keputusan untuk bergabung) akan ditunda kerana mendapat tentangan besar daripada ahli, kebelakangan ini.

“Sudah sampai masanya ahli UMNO tidak menjadi pak turut. Saya sendiri tidak mahu menjadi ‘rubber stand’ dalam MKT dengan hanya bersetuju. Ahli sudahpun memberi pandangan jelas melalui media sosial yang ada,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kedudukannya susulan isu itu, Lokman yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan berkata, beliau menjangka akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti dan dikenakan tindakan.


Loading...

Namun jika dipecat, katanya, beliau menganggap ia sebagai satu penghormatan dalam perjuangan.

“Saya pernah dipecat daripada UMNO pada 6 Oktober 1998, dan turut dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat. Kalau kena pecat sekali lagi, tidak ada kesan kepada saya, malah menjadi lebih mudah untuk saya menegur PH, termasuk sekutunya yang menjadi gunting dalam lipatan dalam UMNO,” katanya.

Mesyuarat MKT petang ini dijangka membincangkan hala tuju UMNO, Muafakat Nasional dan kedudukan Lokman dalam parti. – BH Online

ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram