UMNO-PAS gabung Mahathir, Ini pendapat Tun Faisal



SECARA prinsipnya, bagi majoriti ahli dalam UMNO, kita sama sekali tidak  mengampunkan segala dosa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pengkhianatannya serta Melayu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Perdana Menteri itu perlu minta maaf dan bertaubat atas segala dosa dan pengkhianatannya yang telah mengakibatkan DAP, golongan evangelis, liberal dan sekular begitu berkuasa dalam kerajaan sehingga tindakan mereka telah menjahanamkan negara.

Atas sebab itu, kita mahu Parlimen dibubarkan dan rakyat diberi kuasa untuk menentukan semula kerajaan yang lebih mereka yakini dapat menjaga negara, agama dan bangsa.


Loading...

Bagaimanapun, demi menghalang kerosakan yang lebih teruk ke atas negara, agama dan bangsa diakibatkan oleh Pakatan Harapan (PH), terutamanya oleh DAP, PAN dan PKR, melalui penguasaan mereka di Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, campur tangan mereka dalam hal ehwal agama Islam melalui Menteri-menteri PAN, penyalah gunaan kuasa melalui Peguam Negara, SPRM, SPR, PDRM dan LHDN, kerakusan menjual aset-aset dan kekayaan negara, terutama aset umat Islam di dalam Tabung Haji, Felda dan Khazanah, kelemahan pentadbiran, tadbir urus dan korupsi menteri-menteri dan pegawai mereka di kementerian-kementerian, kegagalan menteri-menteri PH menguruskan kementerian masing-masing dan kegagalan PPBM untuk menghalang kerosakan ini daripada terus menerus menjahanamkan negara, maka pada pandangan saya, gabungan ini boleh dipertimbangkan dengan syarat UMNO adalah parti yang diberikan peranan yang dominan dalam kerajaan yang baharu ini, sesuai dengan jumlah kerusi terbanyak yang dimiliknya.


Loading...

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberi mandat sepenuhnya untuk berunding dengan mana-mana pihak dalam hal ini, dan sewajarnya kita mendengar apakah hasil dari siri rundingan yang telah beliau lalui.

Saya yakin, hasrat Presiden adalah untuk kebaikan parti dan beliau tidak membelakangkan kepentingan parti dengan bersikap telus dalam memaklumkan hasil rundingan beliau.

Cuma, oleh kerana keputusan untuk tidak membentuk kerajaan melalui pintu belakang ini telah kita sama-sama persetujui dalam Perhimpunan Agung UMNO 2019, disokong pula oleh sayap-sayap Pemuda dan Puteri, maka secara prinsip dan perlembagaannya, ada kewajaran Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO untuk mendapatkan semula persetujuan para perwakilan dalam Mesyuarat Agung Khas agar mereka boleh sama-sama bersetuju dengan keputusan untuk membentuk kerajaan gabungan ini.


Loading...

Saya yakin sekiranya kita boleh menjelaskan dengan objektif bahawa gabungan ini akan memberi manfaat yang besar kepada agama dan bangsa, menyelamatkan negara dan ekonominya yang semakin hari semakin hancur dan rakyat semakin hari semakin terbeban di tangan Pakatan serta memastikan UMNO diberikan peranan yang dominan dalam kerajaan yang baru, insyaAllah, para perwakilan dan ahli-ahli akar umbi akan menyokong kerajaan gabungan tanpa DAP ini, walaupun mereka memang amat benci terhadap Dr. Mahathir dan Melayu PPBM yang telah mengkhianati UMNO serta perjuangan agama dan bangsa.

Persoalan kita nak sokong pemimpin mana, sama ada Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk SeriNajib Razak, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tengku Tengku Razaleigh Hamzah, Khairy Jamaluddin dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi atau sesiapa sahaja, kita letaklah di tepi dahulu.


Loading...

Apabila tiba masa pemilihan nanti, kita tentukan pilihan masing-masing. Yang penting, selepas kita semua telah membuat keputusan, siapa pun jadi Presiden, kita kena sokong dan jangan berpecah belah lagi seperti selepas pemilihan yang lalu.

Persoalannya sekarang, seriuskah Dr. Mahathir untuk membentuk kerajaan gabungan tanpa DAP ini?

Seperti yang saya selalu sebut, Dr. Mahathir ini kuat autanya. Kalau benar dia mengutamakan kepentingan agama dan bangsa, dia tidak akan mengkhianati UMNO dan bekerjasama dengan DAP, PAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

Jika dia benar-benar mengutamakan bangsa, pada usia yang lanjut begini, di saat dia boleh meninggal pada bila-bila masa, dia sepatutnya sudah lama menyerahkan kuasa kepada gabungan parti yang lebih teguh dan kuat perjuangan agama dan bangsanya, iaitu UMNO dan Pas, tetapi dia tidak berbuat demikian.


Loading...

Saya harap pemimpin UMNO tidak terpedaya dengan auta dan gula-gula Dr. Mahathir.

Akhirnya, dia akan terus seronok berkuasa sehingga akhir hayat kerana pemimpin UMNO dan Pas telah termakan gula-gula dan autanya sehingga tidak bersungguh-sungguh menyerangnya dan tindakan-tindakannya yang menjahanamkan negara.

– Penulis, Tun Faisal Ismail Aziz adalah aktivis politik dan mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia




Join our Telegram Channel
Telegram