Siapa di belakang pembelian saham Media Prima dan Utusan?



Laporan berita menyebut Umno telah menjual 11.09 peratus pegangannya dalam Media Prima Bhd kepada taikun perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Dengan pembelian ini tokoh perniagaan terkemuka ini dijangka menjadi pemegang saham terbesar di dalam konglomerat Media Prima dengan menguasai 19.5 peratus saham dianggarkan bernilai RM126 juta.

Ini susulan muktamadnya transaksi pengambilalihan 11.09 peratus saham Gabungan Kesturi Sdn. Bhd. yang dimiliki parti pemerintah terdahulu, Umno di Bursa Malaysia, menjadikan Syed Mokhtar pemegang saham ketiga terbesar Media Prima, buat masa ini.

Umno mempunyai 123.02 juta unit saham melalui Gabungan Kesturi Sdn. Di samping itu Umno dilaporkan memiliki baki 7.96 peratus saham di dalam Media Prima, menerusi Altima Inc yang merupakan pemegang saham keempat terbesar di dalam konglomerat media tersebut.


Loading...

Dalam hubungan itu Syed Mokhtar juga sudah sedia ada memiliki kepentingan di dalam Utusan Melayu (M) Berhad dan The Malaysian Reserve dijangka melengkapkan pengambilalihan saham Umno di dalam Aurora Mulia Sdn. Bhd. tidak lama lagi.

Difahamkan, urus niaga Syed Mokhtar dengan Aurora Mulia Sdn. Bhd. kini berada dalam peringkat akhir pengambilalihan syer-syer yang belum dimilikinya.

Menurut sumber lagi, Aurora berhasrat mengambil alih sejumlah 211 juta saham kedua-dua syarikat tersebut yang mewakili 19.05 peratus saham di dalam Media Prima.

Oleh itu pengambilalihan ekuiti terbesar oleh Syed Mokhtar itu dijangka menyaksikan satu lagi rombakan berlaku di dalam Media Prima yang memiliki perniagaan akhbar, televisyen dan pengiklanan luar itu,’’ kata sumber.


Loading...

Syed Mokhtar memiliki beberapa kepentingan di dalam media termasuk Kumpulan Utusan dengan kira-kira 19 peratus saham manakala 31.6 peratus lagi saham dimiliki Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir.

Pada bulan Mac tahun ini, timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu portal dalam talian bahawa parti itu akan melupuskan kepentingannya dalam Media Prima disebabkan kekangan kewangannya.

Adalah difahamkan, Gabungan Kesturi dan Altima Inc merupakan syarikat pelaburan milik Umno walaupun mengikut laporan tahunan Media Prima, Gabungan Kesturi dimiliki sepenuhnya oleh Amanah Raya Bhd yang dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan.

Sebelum ini, Umno memegang 7.96 peratus kepentingan di dalam Media Prima menerusi Altima Inc manakala Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) merupakan pemegang saham terbesar dengan 11.92 peratus.


Apa yang menarik, pemegang saham utama Media Prima adalah firma perbankan Jepun, Mitsubishi UFJ Financial Group yang menguasai 12.84 peratus ekuiti atau 42.29 juta saham.

Mungkin agak mengelirukan untuk membaca siapa beli siapa dan nama-nama syarikat tersebut dan jika kita meneliti dalam bursa saham untuk mengetahui siapa lembaga pengarah dan pengerusi kita dalam mengetahui di manakah kaitan politik atau proksinya siapakah dia?

Sekali imbas kita akan nampak bayangan gabungan New Straits Times Press (M) Bhd dan Utusan Melayu.

Semasa di bawah BN 13 tahun yang lalu, perkara ini pernah timbul dan cadangan itu dibatalkan kurang daripada dua bulan selepas rundingan bermula, berikutan bantahan yang tegar dalam Umno, dengan ramai yang takut akan monopoli muncul.

Siapakah di belakang langkah yang diambil Syed Mokhtar itu? Tentulah usaha ini bertujuan mengukuhkan propaganda media kerajaan PH. Tetapi dalam komponen PH parti manakah atau individu dan kumpulan manakah yang dekat dengan Syed Mokhtar?


Loading...

Ini kerana mereka yang dekat ini akan mempengaruhi bentuk berita yang akan dikeluarkan kelak, pembingkaian dan sudut yang dipaparkan, penetapan agenda dan wacana bahasa dan pandangan serta tektualitinya.

Dalam beberapa proram seperti lawatan Dr Mahathir ke Galeri Dunia Islam Yayasan Al Bukhary di British Museum di Bloomsbury dan pada Jun 2018 membincangkan mengenai DRB-Hicom Bhd juga bersama Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Reza Albar dan pegawai tinggi dari Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd China (Geely) menunjukkan hubungan beliau dengan Syed Mokhtar.

Semasa Dr Mahathir menjadi PM dahulu, hubungan kedua-dua memang rapat.

Adakah langkah Syed Mokhtar ada kaitan dengan Perdana Menteri atau mereka yang rapat dengan beliau? Adakah Parti Bersatu hendak mengukuhkan pengaruhnya dalam dua kumpulan media arus perdana? Dalam era kebebasan media dan cadangan penubuhan majlis media, tidakkah ini merupakan satu langkah ke belakang dalam aspek monopoli media oleh mungkin Bersatu dalam PH?


Apakah pula komen parti-parti komponen PH pula?

Datuk A. Kadir Jasin, penasihat media Dr Mahathir pernah menjadi orang besar dalam kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad . Adakah beliau berada di belakang pengambilan ini?

Seperkara lagi ialah langkah yang diambil oleh The Malaysia Reserve dijangka melengkapkan pengambilalihan saham Umno di dalam Aurora Mulia Sdn. Bhd. Jika tidak silap orang kanan dalam akhbar tersebut adalah salah seorang pembantu Dr Mahathir di Yayasan Perdana.

Menurut sumber, The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong juga telah didekati untuk memperoleh kepentingan dalam Media Prima. Walau bagaimanapun, rundingan itu tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanakah pula dengan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah beliau juga mempunyai kumpulan media yang mendukunginya. Adakah pencarian kumpulan media diperlukan dalam pengukuhan kuasa politik? Bagaimana dengan kumpulan media The Edge, adakah ia merupakan yang kumpulan media pro-Anwar?



Ismail Hashim | Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)



Join our Telegram Channel
Telegram